Monday, 22 April 2013

Calon DAP rasa lega mereka dibenar guna logo sendiri

SIBU: Semua calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) di negeri ini berasa lega apabila mereka dibenarkan untuk menggunakan logo parti itu setelah diterima oleh pegawai pengurus pilihan paya pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelmarin (Sabtu).

Pengerusi DAP Negeri Wong Ho Leng berkata walaupun CEC mereka tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (ROS), tidak bermakna DAP tidak dapat menggunakan logo mereka dan ini dilihat turut memberi impak kepada setiausaha agung parti kerana tidak dapat mengeluarkan surat kebenaran/watikah untuk calon-calon bertanding di seluruh negara.

DAP akan bertanding di 11 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU13 ini dan terpaksa memberikan kerusi Parlimen Miri dan Sri Aman kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Tidak ada masalah dengan pencalonan DAP bagi calon-calon kami di negeri ini menggunakan logo parti.

“Setelah logo parti diterima oleh pegawai pengurus pilihan raya, saya berharap tiada bantahan dibuat oleh calon lain tentang perkara terbabit,” katanya ketika ditemui pada hari penamaan calon bagi kerusi P211 Parlimen Lanang di sini, kelmarin (Sabtu).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek memberitahu, bahawa ROS sepatutnya tidak mengganggu proses penamaan calon ini sehingga mengaitkan logo DAP kerana bimbang menimbulkan masalah dalam parti.

“Kami bersyukur dapat menggunakan logo kami sendiri pada PRU13 ini dan kami akan tumpukan pada PRU13 ini serta lupakan dahulu masalah DAP.

“Ia sesuatu yang sangat menggembirakan kerana dapat menggunakan logo sendiri.

“Kami kena fokus dan harus menang di Parlimen Sibu dan Lanang,” jelasnya.

Beliau memberitahu, calon DAP turut membawa dua borang pencalonan iaitu borang calon PKR dan DAP.

Ini kerana, katanya jika logo DAP ditolak maka calonnya akan mengemukakan borang menggunakan logo PKR.

“Itu untuk persediaan sahaja serta mencuba.

“Tetapi setelah calon menghantar borang pencalonan menggunakan logo DAP ia terus diterima pegawai berkenaan.

“Ini bermaksud logo kami sah dan boleh digunakan pada PRU13 ini,” tambahnya sambil memberitahu bahawa kedua-dua calon DAP bagi kerusi Parlimen Sibu dan Lanang telah dibenarkan menggunakan logo DAP. -theborneopost

No comments:

Post a Comment