KUCHING: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Mambong Willie Mongin, 38, percaya peluang untuk beliau memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) agak cerah ekoran isu dibangkitkan amat dekat dengan hati rakyat.
“Sesiapa yang menjadi calon, saya percaya mereka boleh memainkan peranan masing-masing…jadi dalam pencalonan saya di Mambong, saya percaya walaupun kami faham dan tahu BN (Barisan Nasional) mempunyai jentera yang kuat dan mempunyai kemudahan tetapi saya rasa peluang kami khususnya antara BN dan PKR sama rata untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Mambong kelmarin (Sabtu).
Proses penamaan calon diadakan di Pejabat Daerah Kecil Siburan dekat sini dengan Pegawai Daerah Kecil Siburan Wilson Sipilak Asui selaku pegawai pengurus Pilihan Raya Parlimen Mambong.
Willie yang merupakan seorang konsultan teknologi maklumat (IT) dan ahli perniagaan berkata kini PKR hanya perlu bekerja keras dan meyakinkan pengundi agar memilih parti itu.
“Ini adalah negara demokrasi, jadi saya berasa walaupun lawan saya khususnya Dato Sri James Dawos cukup berpengalaman dalam erana politik tetapi saya percaya sekarang usia bukan halangan, jadi sama-samalah kita melaksanakan amalan demokratik,” katanya.
Willie berkata banyak isu akan dibangkitkan serta dijadikan modal untuk berkempen dan ia berbeza-beza mengikut kawasan namun yang paling dominan ialah isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Saya fikir isu-isu adalah pelbagai dan unik di kawasan-kawasan tertentu, di kawasan tertentu mungkin isu tanah dan masih terlalu awal untuk saya berkongsi dengan anda (media),” katanya.
Sementara itu, calon Parti Reformasi Negeri (STAR) Dr Dripin Sakoi, 77, juga berkata peluang untuknya memenangi kerusi Parlimen Mambong amat baik.
Bagaimanapun katanya, terpulang kepada rakyat untuk memberi keyakinan serta sokongan kepadanya kerana tugas beliau ialah memperjelaskan kepada rakyat STAR akan membawa agenda Borneo yang disifatkannya masih terlalu awal untuk didedahkan kepada umum.
“STAR untuk dua penggal tidak bertanding sebagai memberi peluang kepada ahli politik lain mengambil tindakan terhadap apa yang tidak betul berlaku tetapi tiada apa yang berlaku.
“Jadi inilah masanya untuk kami (STAR) terlibat sama dalam pilihan raya…kami adalah reformis jika anda berkempen, mungkin ada pihak yang tidak suka atau suka, jadi konflik idea akan berlaku yang akhirnya boleh membawa masalah,” katanya.
Beliau berkata STAR akan bertemu terus dengan rakyat secara semuka, menjelaskan perjuangan parti dan terpulang kepada mereka untuk memilih atau sebaliknya.
“STAR tidak akan menggu-nakan poster sebagai bahan kempen kerana poster tidak bo-leh mengundi, yang mengundi adalah orang, bukannya poster.
“Orang yang mengundi ada jiwa dan perasaan, menganggap Malaysia adalah milik kita dan mengundi STAR,” ujarnya.
Dripin merupakan seorang bekas pegawai polis dan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang psikologi. -theborneopost
No comments:
Post a Comment