Monday, 22 April 2013

Tan Kai lancar manifesto peribadinya

KUCHING: Calon Barisan Nasional (BN) Bandar Kuching Tan Kai semalam melancarkan manifesto pilihan raya peribadinya yang beliau sifatkan sebagai ‘janji seorang anak kampung nelayan dalam membina Bandar Kuching yang ceria dan harmoni’.

Selaras dengan slogan kempen pilihan raya beliau ‘Bersih dan Adil’, Tan berkata perjuangan utama beliau adalah untuk berjuang menjadikan sebahagian daripada Bandar Kuching yang ditadbir urus kerajaan yang bersih dan keadilan untuk masyarakat.

Selain itu, beliau berjanji dalam manifestonya untuk membawa transformasi ke Bandar Kuching dalam faktor perniagaan, pelancongan dan keselamatan bandar.

“Saya berjanji untuk mewujudkan dan meningkatkan peluang-peluang perniagaan untuk komuniti peniaga, terutama bagi usahawan muda.

“Antara rancangan tersebut adalah untuk memulakan pasar malam baharu di kawasan Padungan serta mewujudkan pusat perdagangan yang lebih bertenaga sepanjang jalan pejalan kaki menjangkau dari Lebuh India ke Tebingan Padungan,” kata Tan dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Mengetahui bahawa negeri ini mempunyai banyak potensi dalam industri pelancongan, hasrat beliau untuk lima tahun akan datang jika dipilih sebagai Ahli Parlimen adalah untuk memperbaiki dan mengukuhkan industri pelancongan negeri dengan meningkatkan penerbangan terus dari bandar-bandar utama di seluruh dunia ke bandar raya Kuching.

“Untuk membina masyarakat yang lebih selamat, saya berikrar untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat yang selamat dengan mengukuhkan pasukan polis, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko tinggi berlakunya jenayah.

“Selain itu, saya juga berjanji untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam dan mewujudkan kesedaran awam bagi masyarakat yang lebih harmoni.”

Dalam usaha untuk menggalakkan pendidikan yang lebih tinggi dalam masyarakat, Tan berhasrat untuk menggalakkan pendidikan tinggi latihan vokasional untuk golongan belia, serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, program peningkatan diri, penyelidikan dan dana pembangunan belia.

“Bagi membolehkan orang ramai mendapat manfaat daripada pemodenan dan kemajuan industri kesihatan dan kemudahan perubatan, terdapat keperluan untuk merealisasikan kesihatan metropolitan di kawasan Kuching-Samarahan dengan objektif untuk meningkatkan momentum pembangunan industri kesihatan,” katanya.

Bandar Kuching yang juga terdapat perkampungan nelayan seperti di Sungai Apong dan Bintawa, Tan berikrar memodenkan kampung nelayan terbabit dengan mewujudkan tempat pelancongan dengan kemudahan terbaik selain aktiviti-aktiviti yang dapat menarik pelancong datang.

Beliau menambah, nelayan akan mendapat faedah daripadanya dan menaikkan pendapatan isi rumah menjadi keutamaan dalam aspek itu.

“Saya akan terus berusaha mewujudkan hubungan yang lebih rapat dengan rakyat, bekerja rapat dengan orang-orang yang terlibat dan menyelesaikan masalah masyarakat serta nelayan,” katanya.

Pelancaran manifesto Tan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung SUPP Profesor Dr Sim Kui Hian, Ketua Wanita SUPP Tnay Li Ping dan Setiausaha Agung Pemuda SUPP Wilfred Yap. - theborneopost

No comments:

Post a Comment