Monday 8 April 2013

Manifesto BN tidak tiru manifesto lain seperti didakwa pembangkang

MIRI: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak malam kelmarin tidak meniru mana-mana manifesto seperti yang didakwa pembangkang.

Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu Ahmad Lai Bujang berkata dakwaan BN meniru manifesto pembangkang adalah tidak berasas sebaliknya hanya satu fitnah.

“Manifesto BN atau aku janji BN adalah satu janji yang membawa harapan dan membela denyut nadi rakyat dan bukannya seperti manifesto pembangkang yang tidak pernah ditepati,” katanya pada Majlis Komuniti Berkoperasi Parlimen Sibuti, di Bakam semalam.

Beliau memberitahu, pembangkang hanya menunaikan 15 peratus janji pada manifesto lalu manakala selebihnya mereka lupa akan tanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Jangan kata nak membuat jalan raya untuk keselesaan rakyat, nak memberi bantuan batu pun mereka tidak mampu.

“Ini membuktikan bahawa manifesto BN bukan hanya janji kosong, sebaliknya kerajaan BN berusaha untuk menepati janji terbabit demi keselesaan rakyat,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pembangkang hanya pandai melancarkan manifesto pilihan raya namun setelah diberi mandat oleh rakyat mereka seolah-olah terlupa akan janji kepada rakyat.

“Perdana Menteri sendiri mengakui pembangkang hanya menunaikan 15 peratus janji dalam tempoh pentadbiran mereka manakala selebihnya 85 peratus hanya tinggal janji.

“Berbanding BN, setiap janji yang diuar-uarkan pasti akan tertunai meskipun ia memakan masa namun kerajaan BN tidak pernah lupa janji kepada rakyat,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada manifesto terbabit jika BN diberi mandat sekali lagi untuk mentadbir urus Malaysia.

“Kita berterima kasih kerana Sabah dan Sarawak diberi perhatian oleh BN, khasnya dalam meneruskan kesinambungan kemajuan yang lebih pesat untuk rakyat.

“Kemudahan asas di kawasan Sibuti akan terus dinaik taraf dan terbaharu, Sibuti bakal menerima memiliki balai bomba baharu di kawasan Batu Niah, tahun depan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Sibuti tidak terpengaruh dengan spekulasi liar yang mengaitkan beliau tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sibuti pada Pilihan Raya Umum kelak.

No comments:

Post a Comment