KUCHING: Rata-rata masyarakat di sini menerima serta menyokong manifesto Barisan Nasional (BN) supaya agenda pembangunannya dapat diteruskan.
Menurut Azery Abdul Rahman, 33, dari Kota Samarahan, manifesto BN memang wajar diadakan oleh kerajaan yang bakal menyambung mandat memerintah negara.
“Sebagai usahawan Bumiputera, kemudahan seperti pinjaman dapat mempertingkatkan perniagaan dari semasa ke semasa,” ujar Azery ketika ditemu bual semalam.
Beliau yang menjalankan perniagaan membekal peralatan pejabat amat bersetuju dengan isi kandungan manifesto membina ekonomi mapan, dinamik dan inovatif di mana agenda Bumiputera akan dipertingkatkan menerusi penyediaan peluang-peluang perniagaan dan persekitaran perniagaan yang kukuh seperti kemudahan pinjaman, latihan dan sokongan institusi.
“Manifesto BN juga mampu meningkatkan daya saing supaya para usahawan akan menjadi lebih berjaya nanti,” katanya.
Sementara itu Elfyra Nedia Mohktar, seorang kerani berusia 25 tahun dari Kuching berkata manifesto tersebut menjanjikan harapan yang pasti akan ditepati oleh BN.
“Dengan peningkatan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ia akan dapat meringankan beban rakyat terutama pada masa sekarang,” jelas Elfyra ketika memberi pendapatnya mengenai usaha menangani kos sara hidup dalam manifesto berkenaan.
Manifesto BN menyatakan penambahan BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk individu bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.
Selain itu manifesto BN turut menekankan untuk memerangi gejala rasuah, memperkukuhkan perkhidmatan awam serta menambah baik tadbir urus, Gerakan Kesederhanaan Global dan memulihara sumber semula jadi.
Bagi Jimmy Ng, 43, seorang peniaga makanan ringan dan buah-buahan berkata, manifesto BN seperti menyediakan rumah mampu milik adalah amat dialu-alukan.
“Selain menyediakan rumah mampu milik, BN juga harus memastikan kehidupan golongan muda yang tinggal di kawasan bandar adalah terjamin kerana tekanannya adalah lebih tinggi berbanding kehidupan di luar bandar,” ujar Ng yang berharap BN akan memastikan janji-janjinya ditepati sebagai balasan menerima mandat daripada rakyat nanti.
Malam kelmarin Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ dengan harapan membawa negara ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberi mandat baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Antara janji-janji yang terkandung dalam manifesto BN termasuk menangani kos sara hidup, meningkatkan kehidupan warga bandar, menyediakan rumah mampu milik, peluang perkhidmatan kesihatan berkualiti, kecekapan pengangkutan awam, pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan transformasi luar bandar.
Selain itu manifesto BN turut memuatkan janji membina ekonomi yang mapan, dinamik serta inovatif, membina kecemerlangan pendidikan negara, meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam, memperkasa penyertaan wanita, memenuhi aspirasi belia, merancang jaringan keselamatan sosial dan mempromosikan agama Islam, kebebasan serta keharmonian agama.
sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment