Monday, 15 April 2013

Rakyat mahu Jacob dikekalkan sebagai calon BN di Baram

MIRI: Semua ahli Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Miri dan Marudi, Baram dari pucuk pimpinan akar umbi hingga ke atasan sebulat suara memilih dan menamakan Datuk Jacob Dungau Sagan sebagai calon sekali lagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen Baram.

SPDP Miri dan Baram dalam memo kepada akhbar semalam memberitahu, mereka tidak mahu mana-mana calon lagi yang mewakili SPDP kerana Jacob sudah memenangi hati rakyat dan masyarakat pelbagai etnik di Baram.

“Tuai-tuai rumah dan pemimpin di seluruh Baram amat menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau (Jacob) sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.

“Kami juga amat kesal dan kecewa dengan pihak tertentu yang membuat provokasi dan propaganda dengan mencalonkan calon lain yang tidak dipilih daripada suara hati rakyat,” kata memo tersebut di sini semalam.

Memo itu turut meminta ahli-ahli parti lain agar tidak masuk campur dalam pemilihan calon, tidak mahu presiden parti lain menentukan calon di Baram, kerana ini adalah menyalahi etika parti dalam Barisan Nasional (BN).

“Kami mahu ahli-ahli parti dan pucuk pimpinan SPDP harus membuat pencalonan dan tidak mahu campur tangan mahupun pengaruh daripada mana-mana pihak.

“Kami ahli-ahli SPDP Baram tidak mahu dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku perpecahan dalam BN, jika Jacob tidak dicalonkan pada PRU13 bagi kawasan Parlimen P.220 Baram,” kata memo itu lagi.

Menurut kenyataan itu, mereka membantah campur tangan dalam penamaan calon dari Baram kerana tiga faktor iaitu parti sudah melaksanakan strategi awal yang jitu dan padu untuk mengekalkan Jacob sebagai Ahli Parlimen Baram pada PRU13, Jacob sudah melakukan kembara awal mendekati rakyat dan masyarakat Baram selain sedia maklum bahawa beliau sudah diterima oleh keseluruhan masyarakat di Baram. - theborneopost

No comments:

Post a Comment