Saturday 13 April 2013

Sibu, Lanang masih memerlukan kerajaan BN



UNTUK RAKYAT: Tiong (tengah) menyerahkan peralatan sukan kepada Tuai Rumah Nuang pada majlis penyerahan di Rumah Nuang Usit, Sibu, baru-baru ini.

SIBU: Bandar Sibu dan kawasan Lanang masih memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah bagi memacu bandar itu ke arah kemajuan yang pesat dan berterusan.

Penyandang kerusi Parlimen Lanang, Datuk Tiong Thai King berkata kerajaan negeri mahupun pusat telah merangka banyak pelan program pembangunan kepada bandar ini untuk diterajui oleh barisan wakil BN di sini.

“Ada di antara projek pembangunan sudah mula dilaksanakan serta masih dalam cadangan atau pelan. Ini semua untuk kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

“Seandainya kerusi Parlimen Sibu dan Lanang jatuh kepada pembangkang, adalah suatu kerugian kepada rakyat kerana pembangkang atau pihak lain selain BN tidak mampu membawa Sibu dan Lanang ke arah pembangunan yang pesat.

“Oleh itu, Sibu dan Lanang amat memerlukan kuasa BN untuk membawa bahagian ini terus maju dengan pesat di samping ekonomi yang kukuh untuk rakyatnya pada masa akan datang,” katanya pada majlis penyerahan peralatan sukan kepada Rumah Nuang Usit, Senibong di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Ahli Parlimen Lanang Tang Tung King, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu Terence Tan, Penghulu Paing Tawi dan Tuai Rumah Nuang.

Peralatan sukan itu berupa bola futsal dan sepak takraw yang diagihkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Bahagian Sibu untuk kegunaan penduduk-penduduk di rumah panjang tersebut.

Tiong yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) berkata, jika pembangkang memerintah bandar ini tiada apa pembangunan yang akan dikecapi oleh masyarakat Sibu dan Lanang kerana pembangkang tidak mempunyai kuasa atau peruntukan seperti BN.

“Pembangkang hanya tahu bercakap sahaja tetapi mereka tidak pandai mentadbir sesebuah kawasan milik mereka. Lihatlah apa yang terjadi di Parlimen Sibu, DUN Pelawan, DUN Bukit Assek dan DUN Dudong. Semua kawasan itu milik pembangkang dan lihatlah apa yang mereka laksanakan setakat ini.

“Itulah kesilapan kita jika tidak bijak memilih pemimpin. Kerugian itu bukan dialami pemimpin tetapi rakyat sendiri. Oleh itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini, pastikan bahawa kesilapan itu tidak diulangi lagi.

“Berilah mandat sepenuhnya kepada BN untuk memerintah demi kesejahteraan dan keselesaan kita bersama. Hakikatnya, Sibu dan Lanang amat memerlukan BN untuk membawa banyak lagi pembangunan di sini termasuklah impian untuk dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya negeri ini,” tegasnya. - 
theborneopost

No comments:

Post a Comment