Monday 8 April 2013

Rakyat Lubok Antu tidak harus bersekongkol dengan SWP

ENGKILILI: Rakyat Lubok Antu tidak harus bersekongkol dengan Parti Pekerja Sarawak (SWP) bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) William Nyalau Badak di Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnichol Rayong Ngipa berkata pengundi di Parlimen Lubok Antu yang majoritinya kaum Dayak terutama Iban harus memilih wakil rakyat anak jati Lubok Antu.

“Hampir 95 peratus kaum Iban tinggal di Lubok Antu, kenapa segelintir golongan Iban dari Lubok Antu hendak menjaja Presiden SWP Larry Sng menjadi wakil rakyat di Lubok Antu?

“Saya bukan rasis tetapi itu adalah realiti politik sebagai contoh dalam sebuah rumah panjang yang majoritinya dihuni bangsa Iban… tidak boleh orang Tamil jadi tuai rumah dan begitu juga perkampungan Cina orang Iban tidak boleh jadi kapitan.

“Begitu juga dengan politik, Parlimen Lubok Antu ramai dihuni kaum Dayak kenapa suruh kaum Cina yang bukan anak jati Lubok Antu menjadi pemimpin kita di sini.

“Jadi, berilah peluang kepada anak bangsa kita sendiri (Nyalau) menjadi wakil rakyat dan undilah dia (Nyalau) pada Pilihan Raya Umum nanti,” katanya pada Majlis Merarau ‘Fund Raising’ sempena Menyambut Hari Paska di Dewan Gereja St Michael Engkilili, di sini semalam.

Pada majlis itu, Dr Rayong mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Gereja St Michael termasuk enam chapel di kawasan Engkilili.

Turut hadir Dr James Chela yang mewakili penyandang kerusi Parlimen Saratok Jelaing Mersat, Nyalau, Venerable Archdeacon Chimbie Bunsie, Rev St Michael Winston Sokim dan ketua-ketua masyarakat sekitar Engkilili.

Pada PRU13 nanti, Parlimen Lubok Antu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Nyalau yang mewakili BN, bakal ditentang Larry daripada SWP dan Nicholas Bawin Anggat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

No comments:

Post a Comment