Tuesday 16 April 2013

Pembangkang persoal pemberian BR1M



BAZIR WANG RAKYAT: See menunjukkan risalah yang dicetak dan dihantar kepada setiap penerima BR1M.
KUCHING: Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak See Chee How terus mempersoalkan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menyifatkan bantuan itu hanya gimik politik untuk memancing undi.

See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang berkata, BR1M merupakan satu mainan politik wang oleh kerajaan BN.

“Dalam manifesto BN mereka menyatakan kerajaan BN akan meneruskan pemberian BR1M sebanyak RM1,200 jika diberikan mandat semula oleh rakyat.

“Oleh itu, BR1M jelas menunjukkan bahawa ia satu rasuah daripada kerajaan BN yang mahu memancing undi daripada rakyat,” katanya pada sidang media di bilik gerakan PKR Stampin di sini semalam.

Malah, beliau turut mempersoal pemberian risalah yang dihantar kepada setiap penerima BR1M yang menyifatkan ia satu pembaziran wang rakyat.

“Setiap penerima BR1M akan menerima risalah ini dan apa yang saya lihat ini merupakan satu pembaziran wang rakyat dan penyalahgunaan kemudahan kerajaan,” jelasnya sambil menambah ia tidak seharusnya terjadi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Wanita PKR Cecilia Ona yang juga calon PKR bagi kerusi Parlimen Betong mendakwa, meskipun kawasan itu telah ditadbir lebih 56 tahun oleh kerajaan BN namun ia masih mundur dari segi kemudahan asasnya.

“Jalan, bekalan air bersih dan kemudahan asas lain di sini (Betong) masih lagi jauh ketinggalan…ini menunjukkan kerajaan BN peringkat persekutuan tidak serius untuk membangunkan kawasan ini.

“Oleh itu, kami di kawasan ini memerlukan wakil rakyat yang lantang bersuara untuk mengetengahkan keperluan rakyat di sini dalam Dewan Rakyat,” ujarnya.

Hadir sama Naib Presiden Wanita PKR Pusat Voon Shiak Ni, Naib Presiden Wanita PKR Negeri Helen Jawbai dan Ketua Wanita PKR Nur Hanim Moksen.- theborneopost

No comments:

Post a Comment