Tuesday, 16 April 2013

Anwar akan umum calon PR yang bertanding di kerusi bertindih

KUCHING: Keputusan muktamad mengenai calon daripada Pakatan Rakyat (PR) yang akan bertanding di kerusi yang bertindih pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya akan diketahui apabila diumumkan oleh Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, pengumuman yang dibuat oleh Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang di bilik gerakan PAS Kota Samarahan kelmarin berkaitan dua kerusi Parlimen yang bertindih iaitu Kota Samarahan dan Julau masih belum muktamad.

Perkara itu ditegaskan Naib Presiden Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Voon Shiak Ni pada sidang media di bilik gerakan PKR Stampin semalam.

“Kenyataan atau pengumuman yang buat rakan PR kita semalam (Ahad) menimbulkan kontrovesi berkaitan calon di kerusi Parlimen yang mempunyai tuntutan bertindih kerana apa sahaja kenyataan dikeluarkan selain presiden kita (Anwar), ia hanyalah kenyataan berbentuk peribadi sahaja,” katanya.

Voon menegaskan hanya Anwar sahaja yang mempunyai kuasa untuk mengumumkan calon-calon di kerusi Parlimen yang bertindih.

“Tapi apa yang penting kami mahu katakan adalah kami akan menyokong semua calon yang telah dimuktamadkan oleh presiden PR kami.

“Jadi apa sahaja kenyataan atau pengumuman yang luar daripada presiden, merupakan kenyataan berbentuk peribadi,” jelasnya.

Oleh itu, calon yang akan bertanding di dua calon di kerusi bertindih yang diumumkan PAS kelmarin iaitu Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus bagi kerusi Kota Samarahan dan Ambrose Labang Jamba (Julau) masih lagi samar.

Menyentuh mengenai isu lain, Voon mendakwa, pihaknya ada menerima aduan berhubung individu yang menjadi pemilih di mana mereka sebelum ini tidak pernah mendaftarkan diri untuk menjadi pemilih.

“Kami menerima aduan daripada tiga individu yang kini berada di luar negara yang tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pengundi.

“Mereka minta kami menyiasat perkara ini agar nama mereka tidak disalah guna pada PRU13 ini,” katanya sambil memberitahu dua daripada pengadu dari Sibu dan seorang dari Kuching. -  theborneopost

No comments:

Post a Comment