Tuesday 9 April 2013

PAS adalah ‘Parti Ajaran Sesat’, kata Pondok Minda

Nik Abdul Aziz didakwa sombong, takbur dan angkuh dengan fatwanya yang syirik dan menyesatkan

GURUN: Pondok Minda, gabungan 25 pondok pengajian agama di Kelantan, mengulangi PAS adalah parti ajaran sesat dan semua fatwa dikeluarkan Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat wajib ditolak.

Penasihat Pondok Minda yang juga pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Tok Guru Abdullah Sa’amah berkata PAS sebuah parti yang dibentuk oleh manusia untuk menegakkan Islam tetapi telah menyeleweng dan menyimpang jauh daripada ajaran Islam.

Sambil menyifatkan Nik Abdul Aziz sombong, takbur dan angkuh dengan fatwa-fatwanya yang didakwa syirik dan menyesatkan, beliau berkata: “Saya kata PAS ‘Parti Ajaran Sesat’ kerana Nik Aziz dakwa PAS itulah Islam sedangkan Islam diturunkan oleh Allah SWT yang diajar kepada Nabi Muhammad SAW.

“Ini bukan fatwa kami tetapi keputusan hasil rumusan setelah merujuk kitab-kitab muktabar, tafsir al-Quran, hadis dan hukum-hakam,” kata Abdullah pada sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas Persidangan Ulama-Ulama bersama Kepimpinan Pondok, Sekolah Agama Rakyat/Tahfiz Al-Quran 2013 peringkat kebangsaan di sini yang dihadiri 150 orang, bermula Sabtu lepas.

Katanya, perbuatan Nik Aziz mengkafirkan UMNO dan penentang PAS, membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan menyokong pluralisme merupakan kesalahan cukup besar beliau.

“Kita faham Nik Aziz….apa sahaja berkaitan dengan UMNO adalah haram bagi dia. Sikap, fahaman dan fikiran dia sudah keliru…UMNO tolak PAS ertinya tidak ada Islam pada UMNO bagi dia…inilah kekeliruan yang dibawa PAS,” katanya.

Beliau berkata guru-guru agama terpaksa bangkit untuk menyelamatkan umat Islam setelah melihat kecelaruan dalam agama, syariat dan akidah umat Islam hari ini yang goyah akibat permainan politik.

“Melayu akan hilang segala-galanya jika bertahalufkan pakatan pembangkang yang menyokong pluralisme dan membenarkan kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam. Pemimpin Islam yang tidak berilmu dan jahil agama sahaja membenarkan kalimah Allah boleh diguna oleh bukan Islam. Perbuatan ini haram dan membawa kepada murtad bagi orang-orang yang membenarkannya,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Nik Aziz bahawa UMNO buat masjid bukan kerana Islam melambangkan sikapnya yang memusuhi parti itu dan fatwa bahawa sesiapa menyokong UMNO tidak masuk syurga, menyimpang 100 peratus dari Islam dan menyalahi ulama muktabar.

Abdullah turut mencabar Nik Aziz memberikan jawapan dalam tempoh tiga hari mengenai hukum bagi suami isteri yang masing-masing ahli PAS dan ahli UMNO, perlu dimufaraqah (pisahkan sementara). — Bernama

No comments:

Post a Comment