Thursday 18 April 2013

Lau sedia bertanding, letak jawatan temenggung



LETAK JAWATAN: Lau (kiri) menyerahkan surat rasmi peletakan jawatannya sebagai temenggung kepada Sim sambil disaksikan oleh Wong di Sibu, semalam.


Keputusan wakili SUPP sudah difikirkan semasak-masaknya, berterima kasih kepada penduduk Sibu

SIBU: “Saya sudah bersedia menghadapi apa jua risiko sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini tidak memihak kepada saya dan Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sibu,” kata calon BN kerusi Parlimen Sibu, Vincent Lau Lee Ming.

Menurut beliau, segala risiko dan pengorbanan itu sudah difikirkan semasak-masaknya semasa membuat keputusan mewakili Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada PRU13 di kerusi Parlimen Sibu setelah disyorkan oleh pucuk pimpinan parti itu, awal tahun lalu.

“Saya memilih politik bukannya untuk mencari nama tetapi ikhlas ingin berkhidmat kepada rakyat. Saya bukan inginkan kuasa tetapi diberi mandat serta kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti untuk menjadi calon.

“Seperti jawatan temenggung iaitu tanggungjawab yang diamanahkan kerajaan untuk menjaga sesebuah komuniti, kita tidak boleh tolak kepercayaan orang terhadap kita, sebaliknya kita harus buktikan bahawa segala harapan orang di bahu kita dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” ujarnya pada sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu di Tingkat 9, Wisma Sanyan di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Residen Bahagian Sibu Sim Kok Kee.

Sejurus selesai sidang media itu, Lau menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai temenggung kepada Sim sambil disaksikan oleh Wong kerana dipilih menjadi calon BN di kerusi Parlimen Sibu pada PRU13 ini.

“Oleh kerana saya telah diumumkan oleh Ketua Menteri menjadi calon BN di kerusi Parlimen Sibu melalui SUPP semalam (Selasa), secara rasminya saya mengumumkan bahawa saya meletak jawatan sebagai temenggung masyarakat Cina di Sibu berkuat kuasa hari ini (semalam). Ini kerana ketua masyarakat dilarang berpolitik,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sepanjang tiga tahun menjadi temenggung bagi masyarakat Cina di Sibu, ia sedikit sebanyak memberi pengalaman kepadanya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat Cina khususnya kepada ketua masyarakatnya yang telah memberikan kerjasama kepadanya sepanjang tempoh tiga tahun berkhidmat sebagai temenggung.

Kerusi Parlimen Sibu sebelum ini merupakan kubu kuat BN, di mana penyandangnya mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew menang untuk BN dari SUPP pada PRU12 2008, tetapi meninggal dunia pada 9 April 2010 selepas jatuh sakit.

Beliau juga memegang jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu.

Dalam Pilihan Raya Kecil lalu, calon BN dari SUPP, Kaunselor Robert Lau Hui Yew tewas tipis kepada Pengerusi DAP negeri Richard Wong Ho Leng dengan majoriti sebanyak 398 undi.

Ho Leng meraih 18,845 undi manakala Robert Lau mendapat sebanyak 18,447 undi, manakala calon Bebas Narawi Haron sekadar meraih 232 undi, sekali gus hilang wang deposit. - theborneopost

No comments:

Post a Comment