Thursday, 18 April 2013

Dr Tiki terus membisu berhubung statusnya



DR TIKI
KUCHING: Datuk Dr Tiki Lafe terus membisu tentang statusnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini sama ada mahu bertanding atau sebaliknya.

Dihubungi semalam, penyandang Parlimen Mas Gading itu bertegas mengatakan bahawa beliau enggan bercakap apa-apa setakat ini.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini… belum waktunya,” katanya.

Isu pencalonan di Mas Gading timbul berikutan pemecatan Dr Tiki dan empat ADUN daripada SPDP semasa krisis dalaman parti itu, tahun lepas.

Selain Dr Tiki, empat ADUN dipecat ialah Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Datuk Sylvester Entrie Muran (Marudi), Rosey Yunus (Bekenu) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau).

Kelab BN kemudiannya diwujudkan untuk melobi pencalonan Dr Tiki bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mas Gading sebagai calon terus BN.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak termakbul sebaliknya BN mengetengahkan Timbalan Pengurus Besar Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) Anthony Nogeh Gumbek daripada SPDP.

Namun demikian, timbul pihak yang menyurakan desakan agar Dr Tiki kembali bertanding biarpun berdiri sebagai calon Bebas.

Pada Pilihan Raya Parlimen 2008, Dr Tiki menerima 8,551 undi menewaskan calon Parti Reformasi Negeri (STAR) Dr Patau Rubis (4,250 undi) serta calon-calon Bebas iaitu Apin Baeng (306 undi) dan Favian Tisen (1,476 undi). - theborneopost

No comments:

Post a Comment