Tuesday 9 April 2013

Biar rakyat jadi hakim – Najib

Beliau mengulangi jaminan bahawa kerajaan BN akan menepati segala janji yang diberikan kepada rakyat.

KUALA LUMPUR: Ketika manifesto Barisan Nasional (BN), yang dilancarkan Sabtu lepas, masih terus bergema, Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata rakyat akan menjadi hakim kepada janji-janji beliau untuk mencorakkan masa depan yang lebih cerah bagi segenap rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, mengulangi jaminan bahawa kerajaan BN akan menepati segala janji yang diberikan kepada rakyat.

Menerajui BN mencapai kemenangan pilihan raya umum pertama sebagai perdana menteri, Najib membawa kempennya kepada ratusan pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Dalam temubual eksklusif dengan Bernama TV malam tadi, Najib menegaskan pilihan raya umum akan datang perlu membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat berbanding sebelum ini.

Beliau berkata persoalan perlu ditanya sama ada parti pembangkang boleh mentadbir negara dengan baik apabila mereka menghayati pelbagai pendapat sesama sendiri dan tidak boleh mencapai kata sepakat mengenai hala tuju dan dasar-dasar asas.

“Mengubah semata-mata untuk melihat perubahan adalah sesuatu yang tidak bijak. Sebaliknya, kita perlu bawa perubahan yang bakal menghasilkan manfaat yang jauh lebih besar berbanding keadaan semasa yang kita ada,” jawab Najib ketika ditanya pandangan pihak-pihak tertentu yang mahu pembangkang diberi peluang menguasai pentadbiran negara.

Dalam temubual itu, Najib merayu masyarakat India meletakkan ‘Nambikei’ (kepercayaan) terhadap BN, sambil menjelaskan walaupun kaum itu bukan majoriti dalam mana-mana kerusi Parlimen atau kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun
mereka boleh menjadi faktor penentu di negeri-negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

Mengulangi komitmennya untuk meningkatkan status ekonomi kaum itu supaya mereka dapat memiliki ekuiti tiga peratus di negara ini, Najib menggesa pengundi kaum India menganggap calon MIC sebagai sebahagian daripada pasukannya dan menyokong mereka sekiranya mahu beliau terus memimpin negara ini.

- Bernama

No comments:

Post a Comment