Thursday 18 April 2013

SUPP yakin rampas kerusi Bandar Kuching, Sibu



YAKIN MENANG: Chin (empat kanan) merakam kenangan bersama Setiausaha Agung SUPP Dr Sim Kui Hian, calon-calon SUPP (dari kiri) Lau, Tiong, Ting, Tan, Riot, Ding dan Yong di ibu pejabat PBB, semalam.


KUCHING: Muka-muka baharu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) melahir­kan keyakinan tinggi mampu menawan semula kerusi yang jatuh ke tangan pem­bangkang pada dua pilihan raya sebelum ini.

Calon Parlimen Sibu Vin­cent Lau, 65, memberitahu, tidak dapat dinafikan kerusi yang jatuh ke tangan pem­bangkang pada Pilihan Raya Kecil 2010 itu nanti bakal menyaksikan pertandingan sengit.

Beliau bagaimanapun mela­hirkan keyakinan bahawa sokongan masyarakat Cina khususnya akan kembali berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Kita akan cuba mena­wan semula kerusi tersebut (Sibu).

“Saya percaya rakyat boleh menilai sendiri khidmat serta sumbangan saya berikan di Sibu selama 30 tahun ini dan saya yakin mempunyai pel­uang baik untuk menang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Ber­satu (PBB) di sini, semalam.

Pada PRU 2008, SUPP atau BN Sarawak secara keselu­ruhannya, kehilangan kerusi Bandar Kuching kepada Chong Chieng Jen daripada Parti Tin­dakan Demokratik (DAP).

Namun, pada Pilihan Raya Kecil 2009, kerusi Parlimen Sibu jatuh ke tangan Wong Ho Leng yang merupakan pengerusi DAP selepas pen­yandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew meninggal dunia.

Calon di kerusi Bandar Kuching Tan Kai memberi­tahu, beliau melihat cabaran mendapatkan semula kerusi itu sebagai motivasi untuk bekerja dengan lebih gigih.

Bagi mendekati pengundi di kawasan tersebut katanya, beliau mengadakan kunjungan dari rumah ke rumah sejak be­berapa bulan lalu untuk meng­etahui sebarang permasalahan dan keluhan mereka.

“Tidak semua pengundi daripada kaum Cina di Bandar Kuching menyokong pem­bangkang, saya percaya masih ada yang setia kepada BN.

“Namun saya akui, bukan senang untuk menang di kerusi tersebut,” katanya yang juga ketua pemuda SUPP dan juga jurutera.

Sekiranya menang nanti katanya, beliau akan memberi tumpuan untuk mewujud­kan lebih banyak pener­bangan terus di Kuching selain menyelesaikan masalah kekurangan pekerja.

Manakala Sebastian Ting yang merupakan setiausaha politik kepada presiden parti dan penyandang kerusi Miri Datuk Seri Peter Chin percaya beliau mampu memper­tahankan kerusi Parlimen Miri dengan kerjasama rapat daripada parti serta parti komponen BN lain.

“Saya akan memberi yang terbaik untuk mengekalkan kerusi Miri dalam BN,” katanya.

Sementara itu, Chin mem­beritahu bahawa parti bersiap sedia dan bersemangat waja untuk menghadapi PRU13 bagi memastikan kemenan­gan besar kepada BN.

“Kesemua calon kita ber­semangat tinggi dan berpan­dangan peluang kemenangan adalah cerah.

“Mereka juga berazam untuk terus berusaha ber­sungguh-sungguh sehingga 5 Mei di mana rakyat membuat keputusan,” katanya.

Selain Miri, Bandar Kuch­ing dan Sibu, empat lagi kerusi diperuntukkan kepada SUPP adalah Stampin (Datuk Yong Khoon Seng), Sarikei (Ding Kuong Hiing), Lanang (Datuk Tiong Thai King) dan Serian (Datuk Richard Riot). - theborneopost

No comments:

Post a Comment