Monday 8 April 2013

Pembangkang perlekeh manifesto BN, anggap ia hanya buah tangan

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) hanya pemberian buah tangan bukannya janji yang membawa harapan kepada rakyat.

Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee Haw berkata, manifesto BN adalah sesuatu yang janggal bagi pemerintah gabungan itu mentadbir negara selama 50 tahun lalu.

“Manifesto BN lebih kepada janji bukannya menunjukkan kepada rakyat Malaysia apa yang telah mereka lakukan dan membiarkan rakyat negara ini terus menaruh harapan bahawa masa depan kita dan masa depan generasi seterusnya mungkin bergantung kepada mereka (BN),” katanya sebagai mengulas manifesto BN yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang menambah, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu pinjaman dan pengeluaran bon untuk memancing undi tetapi sebenarnya menyebabkan negara menanggung hutang hingga RM516 bilion dan boleh menyebabkan negara muflis.

Tindakan BN itu katanya, benar-benar tidak memberi harapan kepada negara jika rakyat terus terpedaya dengan janji-janji pemberian percuma dalam jumlah lebih besar.

“Masa depan kita bergantung kepada keperkasaan dasar-dasar dan program-program pendidikan, sistem pendidikan yang memastikan pendidikan percuma hingga ke peringkat pengajian tinggi kepada rakyat Malaysia seperti ditekankan dalam manifesto Pakatan Rakyat.

“Parlimen telah dibubar, pentas untuk memilih pentadbiran persekutuan telah dibuka.

“Harapan rakyat, pemberian percuma oleh pentadbiran negara yang terdahulu mesti ditolak,” ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen berkata, ikrar menentang amalan rasuah seharusnya dilakukan oleh BN sejak dahulu lagi bukan ketika pilihan raya menjelang kerana BN telah memerintah selama 56 tahun atau 50 khasnya di Sarawak.

“Mereka (BN) telah memerintah untuk tempoh lama. Kenapa perlu tunggu hingga ke hari ini untuk membuat ikrar untuk telus dan menentang amalan rasuah?”.

“Terdapat perbezaan antara ikrar BN dan Pakatan.

“Barisan (Nasional) telah berada dalam keadaan sepatutnya untuk mengambil semua tindakan ketika memegang kuasa selama ini.

“Kami (pakatan) belum pernah menjadi kerajaan tetapi kami akan lakukan semua ini,” dakwa Chong yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

Kelmarin Najib mengumumkan manifesto BN yang disifatkannya lebih kepada aku janji kepada rakyat dan antara yang ditekankan dalam manifesto itu ialah meningkatkan jumlah BR1M kepada RM1,200 kepada isi rumah, menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah, menambah baik kualiti pengangkutan awam, menentang amalan rasuah dan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment