Monday, 8 April 2013

Manifesto BN terbaik setakat ini

Manifesto janji yang pasti ditepati, kata Salang dan Yong


KUCHING: Bukan menanam tebu di bibir tetapi ia adalah janji yang pasti akan ditepati demi kesejahteraan keseluruhan rakyat termasuk di Sarawak.

Itu yang dihuraikan oleh dua anggota pentadbiran negara, Datuk Joseph Salang dan Datuk Yong Khoon Seng tentang manifesto Barisan Nasional (BN).

Menurut Salang yang merupakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan merangkap Ahli Parlimen Julau, kesemua perkara yang terkandung dalam manifesto tersebut adalah yang diyakini mampu dicapai dan ditepati oleh BN berdasarkan pengalaman-pengalaman yang dilalui.

“Manifesto ini boleh diharapkan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Apa yang digariskan merupakan apa yang BN boleh buat jika pengundi mengembalikan pemerintahaan negara kepada BN selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 ini,” katanya.

Bagi Yong pula, kesemua program yang terkandung dalam manifesto tersebut adalah diyakini mampu dilaksanakan.

Tambah Timbalan Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Stampin itu, sebahagian daripadanya juga amat penting kepada Sarawak seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,300 km dari Sematan sehingga ke Serundung, Sabah dan pembinaan 2,800 km jalan raya berturap.

“Saya penuh yakin bahawa kesemua 17 perkara yang terkandung dalam manifesto tersebut akan dapat ditunai dan terlaksana kerana BN telah membuktikan apa yang dijanjikan sebelum ini telah ditepati,” katanya.

Terdahulu, Salang dan Yong telah menyempurnakan upacara penyerahan set gamelan daripada Persatuan Old Thomians’ kepada SMK St Thomas.


Nancy anggap manifesto BN bersifat menyeluruh


SADONG JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bersifat menyeluruh.

Beliau menjelaskan bahawa manifesto itu bukan sahaja menekankan pembangunan rakyat dan modal insan serta fizikal tetapi juga menekankan aspek kebajikan dan masa depan rakyat.

Malah katanya, manifesto itu bertepatan dengan janji BN yang sentiasa menepati janji kepada rakyat sekali gus membuktikan bahawa Perdana Menteri yakin dengan manifesto itu.

“Manifesto yang dilancarkan oleh BN itu amat unik sekali kerana manifesto itu memang sudah difikirkan sehalus-halusnya sebelum dibentang.

“Pengisian manifesto telah mengambil kira keseluruhan kategori masyarakat untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara menyeluruh, ini telah terbukti berjaya dengan pengenalan pengagihan BR1M dan program-program lain transformasi kerajaan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peletakan Batu Asas GIATMARA Batang Sadong dan Program Menyusur Akar GIATMARA Batang Sadong di Kampung Semera di sini semalam.

Pada masa yang sama Nancy memberitahu, Perdana Menteri juga tidak mengetepikan golongan penting iaitu remaja dan wanita dalam manifesto BN.

“Tepuk dada tanya selera, kesemua ini membuktikan kemampuan kerajaan BN dan ini akan memberi peluang kepada rakyat terutama di luar bandar di kawasan ini agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan,” ujarnya.

Ditanya tentang penambahan calon wanita daripada PBB, katanya beliau menyambut baik penambahan calon wanita dan memuji kepimpinan BN yang memahami keperluan penyertaan wanita dalam politik.

“Saya rasa bersyukur kerana sekurang-kurangnya bertambah wanita di Parlimen dan untuk mewakili negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan Pilihan Raya Umum Ke-13 Nancy berkata, jentera parti sudah bersiap sedia dan hanya menunggu digerakkan untuk berkempen.

“Pada hari ini selain daripada program dengan GIATMARA, PBB mengumpul seramai 200 remaja dari Sadong Jaya dalam Program Belia Sihat sambil melancarkan Tabung Lahad Datu.


Manifesto BN pastikan program transformasi k’jaan mencapai objektif

KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan Ikom berkata, manifesto Barisan Nasional (BN) bukan untuk memancing undi tetapi memastikan semua program transformasi kerajaan mencapai objektif.

“Jika kita tidak membangun seperti tertera dalam manifesto BN, kita boleh ketinggalan dalam pelbagai aspek.

“Oleh sebab itu BN memperkenalkan banyak program transformasi dalam usaha kita mencapai status negara maju menjelang 2020.

“Manifesto ini adalah menyeluruh merangkumi semua aspek dalam usaha BN menyelesaikan masalah rakyat, membantu meringankan beban rakyat di bandar dan luar bandar termasuk ibu tunggal, tiada yang terpinggir,” katanya apabila diminta mengulas manifesto BN yang diumumkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.

Mawan yang juga Menteri Kanan Negeri dan Menteri Pembangunan Sosial berkata manifesto itu amat bermakna daripada aspek ekonomi dan pembangunan.

Manifesto itu bukan berniat untuk memancing undi kerana sebelum ia diumumkan, kerajaan telah memberi pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) antaranya, tambah beliau.

“Kalau persoalannya sama ada kita mampu? Ya memang kita mampu, kalau tidak, kita tidak akan mengagihkan BR1M sebelum ini.

“Kita beri sebab kita mampu. Tidak benar ia bertujuan untuk memancing undi,” katanya.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing pula menyifatkan manifesto BN sesuatu yang realistik dan boleh dicapai.

“Ia meliputi semua aspek dalam masyarakat dalam cara yang sangat praktikal… cadangan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo misalnya, akan membawa banyak perubahan dan manfaat kepada rakyat Sarawak dan Sabah apabila ia menjadi kenyataan kelak.

“Ia akan menjadi perjalanan dalam dua negeri ini lebih mudah dan murah,” kata Masing yang juga Menteri Kanan Negeri Sarawak.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol pula berkata manifesto kali ini memberi gambaran kesungguhan dan kejujuran Najib dalam melaksanakan program transformasinya.

Kalau dahulu katanya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan warga Malaysia berfikiran serta berjiwa kompetitif, kali ini Najib mahu membentuk sebuah negara yang ditadbir dengan cekap.

“Hasil daripada pengurusan jentera kerajaan yang bijak, ini akan lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada di bandar atau desa. Manifesto ini berjiwa rakyat, sangat jujur dan berwawasan,” katanya.

Abdullah menambah, dalam konteks Sarawak, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sekian lama sentiasa memberi penekanan kepada Politik Pembangunan.

Program transformasi Najib dan politik pembangunan Taib katanya adalah satu adunan falsafah politik BN dalam acuan bangsa 1Malaysia yang sejiwa senada ke arah pembentukan sebuah negara berdaulat, membangun, bersatu dan aman.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menerusi Setiausaha Agungnya Dr Sim Kui Hian berkata manifesto itu bukan sekadar manifesto tetapi janji BN kepada rakyat dan apa dikatakan Najib jelas serta tidak berselindung.

“Manifesto ini merangkumi semua rakyat dan Cina tidak terkecuali.

“Harus diingat tidak semua Cina di negara ini kaya, masih ramai yang perlukan bantuan dan aku janji ini hanya dapat dilaksanakan jika BN terus memerintah,” katanya.

Dr Sim menambah, PRU kali ini adalah untuk menentukan kerajaan dan memilih Perdana Menteri bukan hanya untuk SUPP.

Oleh itu ujarnya, semua parti komponen BN mesti bersatu dan mengundi untuk SUPP adalah mengundi untuk BN dan masa depan rakyat.

Kelmarin Najib mengumumkan manifesto BN yang disifatkannya lebih kepada aku janji kepada rakyat dan antara yang ditekankan dalam manifesto itu ialah meningkatkan jumlah BR1M kepada RM1,200 kepada isi rumah, menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah, menambah baik kualiti pengangkutan awam, menentang amalan rasuah dan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak.


Manifesto BN terbaik setakat ini



KENANGAN: Dennis (tengah, berbaju putih) bergambar kenangan bersama para pemain yang 
mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

MIRI: Manifesto Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil malam kelmarin, disifatkan sebagai yang terbaik pernah dilancarkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, berbeza dengan manifesto yang pernah dibuat sebelum ini, manifesto aku janji sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah yang terbaik kerana ia menyeluruh dan meliputi kedua-dua bandar dan luar bandar.

“Manifesto kali ini adalah yang terbaik dan cukup seimbang, terutama apabila ia membabitkan pembangunan dan keperluan bukan hanya menumpu kepada kawasan bandar tetapi juga di luar bandar, yang memberi banyak manfaat kepada rakyat (di luar bandar).

“Semua aspek dibangunkan, dari atas hingga ke bawah, kiri dan kanan, semuanya diberi tumpuan dan tidak dapat disangkal oleh sesiapa pun,” demikian menurut Dennis.

Sebagai wakil rakyat dari kawasan luar bandar yang luas dan terpencil seperti Baram, Dennis memberitahu bahawa beliau amat berpuas hati dengan manifesto tersebut kerana ia tidak meminggirkan rakyat yang tinggal di luar bandar sebaliknya menyeluruh.

Dalam manifesto yang bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ untuk semua lapisan rakyat, BN berjanji untuk mentransformasikan luar bandar, di samping membekalkan elektrik di kawasan luar bandar yang bakal memberi manfaat kepada 80,000 isi rumah di Sarawak, selain bekalan air bersih serta pembangunan infrastruktur yang lebih baik termasuk jalan raya dan banyak lagi.

Justeru Dennis mengingatkan penduduk di Baram supaya berfikir dan mengundi dengan bijak demi masa depan mereka dan generasi akan datang dan bukannya dengan emosi mereka.

Tambahnya, bagi kawasan Telang Usan yang masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas terutama jalan raya, mereka perlu mengekalkan BN di kerusi Baram, untuk memastikan impian pembangunan mereka tercapai.

Hasrat memiliki jalan raya yang lebih baik dengan pembangunan yang lebih banyak dan pesat di Baram, hanya akan mampu dilaksanakan oleh kerajaan yang dipimpin oleh BN.

Mengenai situasi di Baram yang dikatakan antara kerusi paling ‘panas’ menjelang PRU13 kelak, Dennis mengakui terdapat banyak isu yang dilemparkan di kerusi tersebut namun semuanya kini sudah dapat diatasi dengan baik.

Beliau berkata keadaan luar bandar yang besar dan luas seperti Baram, isu-isu yang dibangkit hanya tertumpu di satu-satu lokasi sahaja dan impaknya bukan ke seluruh Baram, justeru dengan turun padang bersama penyandang kerusi Baram Datuk Jacob Dungau Sagan, beliau berkata isu berkaitan berjaya diselesai dengan baik.

Dennis berkata demikian kepada Utusan Borneo di sini, petang semalam, semasa ditemui pada majlis penutupan rasmi Pertandingan Bola Tampar Pantai antara hotel-hotel yang diadakan di Hotel Parkcity Everly Miri di sini.

Dalam ucapannya di majlis tersebut beliau mengingatkan kakitangan hotel supaya memberi perkhidmatan terbaik mereka demi memastikan perkembangan dan pembangunan industri perhotelan di Miri.

Katanya, setiap kakitangan memainkan peranan dalam pembangunan industri perhotelan sekali gus menyumbang kepada industri perkhidmatan yang menjadi salah satu perkembangan penting dalam kemajuan ekonomi dan pembangunan di Miri.

Sementara itu dalam pertandingan tersebut, Hotel Parkcity Miri muncul sebagai johan, naib johan ialah Hotel Mega, ketiga Hotel Grand Palace dan keempat Hotel Miri Marriot Resort & Spa.


sumber: theborneopost

No comments:

Post a Comment