Oleh Mohd Farhan Darwis
SUNGAI BULOH, 1 Sept — Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa Pakatan Rakyat (PR) bertanggungjawab untuk mengubah bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
Perdana Menteri itu juga berkata disebabkan Putrajaya masih lagi dikuasai Barisan Nasional (BN), hasrat PR itu tidak dapat dilaksanakan mereka.
"Semua mereka nak ubah... mereka juga ingin menukar bendera kita.
"Banyak perkara mereka nak lakukan, tapi tak boleh lakukan, kerana kuasa Putrajaya dalam tangan kita," tegas Najib disambut tepukan gemuruh lebih 100,000 hadirin yang menyertai majlis Rumah Terbuka BN Selangor di sini.
Najib turut melihat tindakan kerajaan Selangor tidak menjemput Sultan Selangor ketika sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Shah Alam Khamis lalu bukanlah satu tindakan yang mengejutkan.
Sebaliknya, Pengerusi BN itu menegaskan, kerajaan PR juga lebih menghormati Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mempunyai "locus standi" berbanding Sultan Selangor.
"Soal tidak hormat Sultan Selangor bukan mengejutkan kita ... mereka lebih hormat penasihat ekonomi yang tidak ada locus standi," tegasnya.
Tambahnya, Sultan Selangor adalah simbol kepada perpaduan dan kedaulatan negeri dan seharusnya baginda diberi penghormatan.
"Baginda adalah simbol kepada negeri yang perlu kita hormati."
Najib juga turut menegaskan Putrajaya akan kekal dikuasai BN selepas pilihan raya umu ke-13 akan datang.
"Kita akan merempuh dalam pilihan raya akan datang dan pastikan Putrajaya kekal menjadi milik BN," tegasnya lagi.
Bagaimanapun, ketika sidang media hari ini, PKR turut mengecam keras tindakan sekumpulan individu yang mengibarkan bendera yang dikatakan akan menggantikan Jalur Gemilang semasa perhimpunan Gabungan Janji di Dataran Merdeka kelmarin.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menegaskan, tindakan berkenaan bukan perilaku rakyat Malaysia yang sepatutnya dan PKR tidak mendukung tindakan sedemikian.
"Saya menegaskan ini bukan perlakuan yang perlu dibuat rakyat Malaysia. Ia tindakan tidak sopan dan bertanggungjawab dan PKR tidak mendukung tindakan biadap seperti ini.
"Ia pastinya bukan tindakan yang baik," kata Azmin kepada pemberita sewaktu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.
Bagaimanapun, Azmin menjelaskan, PKR tidak akan melakukan siasatan berhubung insiden berkenaan kerana program itu bukan anjuran mereka sebaliknya ia adalah anjuran badan bukan kerajaan.
"Perhimpunan itu bukan anjuran PKR, ia inisiatif NGO dan mahu ajak rakyat Malaysia menghayati semangat kemerdekaan.
"Tapi dalam perhimpunan besar seperti itu, ada individu yang cuba mengambil kesempatan," katanya lagi.
Azmin juga turut tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan menolak sekeras-kerasnya perilaku kumpulan berkenaan.
No comments:
Post a Comment