Tuesday, 25 September 2012

Kerajaan punyai pelbagai pendekatan lahirkan generasi masa depan berkualiti


TANDA KENANGAN: Dr Hazland bergambar bersama tetamu dan peserta yang hadir semasa Taklimat Dana PIBG dan Dana Belia Yayasan 1MDB.


KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai pelbagai pendekatan untuk melahirkan generasi masa depan berkualiti termasuk menyediakan dana menerusi Yayasan 1MDB.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, pada masa ini yayasan tersebut menyediakan dua dana utama untuk membantu memperkasa generasi muda yang dikenali Dana PIBG dan Dana Belia.

Menurutnya, ia sudah jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak pernah berhenti menghulurkan bantuan kepada setiap lapisan masyarakat termasuk golongan muda dalam menjayakan aktiviti mereka.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kerajaan BN kerana menyediakan dana-dana yang dapat mengaktifkan lagi pertubuhan barisan hadapan.

“Usaha seperti ini penting untuk memastikan pembangunan generasi masa depan berjalan lancar,” katanya berucap merasmikan Sesi Taklimat Dana PIBG dan Dana Belia Yayasan 1MDB di Kota Samarahan baru-baru ini.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Kolonel (B) Awangku Jamuddin Pengiran Kon dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Muara Tuang Hamzah Ibrahim.

Dana PIBG merupakan sumber kewangan yang diperuntukkan 1MDB untuk membantu dan memperkasa program serta aktiviti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah.

Manakala Dana Belia adalah untuk penganjuran aktiviti sihat melibatkan generasi muda.

Sekitar 200 peserta mewakili PIBG dan pertubuhan di Kota Samarahan, Sadong Jaya, Sebuyau, Sri Aman dan Demak Laut menyertai taklimat tersebut.

No comments:

Post a Comment