Thursday 6 September 2012

SWP perlu dapat persetujuan semua parti komponen jika mahu sertai BN

ENGKILILI: Sebuah parti berdaftar yang berminat menyertai Barisan Nasional (BN) perlu mendapat persetujuan daripada semua parti komponen BN Sarawak terlebih dulu.

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata, kenyataan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng setelah SWP menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti akan masuk BN adalah meleset sama sekali.

Ini kerana parti itu perlu mendapat ‘lampu hijau’ daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) terlebih dulu, jelasnya.

Menurut Nyalau, sekiranya sesebuah parti itu mahu menjadi ‘rakan kelima’ maka mereka perlu mendapat persetujuan daripada keempat-empat parti komponen terbabit.

“Andai kata sebuah parti komponen daripada empat komponen parti BN membantah kemasukannya, parti itu pun tidak akan diterima… itulah prinsip BN Negeri dan bagi PRS sudah pasti membantah kemasukan SWP ke dalam BN kerana ia melawan PRS,” katanya.

Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Ilmu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Issu Bangat, Lidong dalam daerah kecil Engkilili malam kelmarin.

Selain itu Nyalau mendakwa, SWP adalah parti milik ‘keluarga’ apabila barisan pucuk kepimpinannya terdiri daripada bapa (Datuk Sng Chee Hua selaku penasihat), anak (Larry sebagai presiden), anak saudara (George Lagong sebagai timbalan presiden) dan adik kepada Larry (sebagai bendahari).

“Ia sekali gus menggambarkan bahawa SWP bukan parti untuk rakyat tapi hanya untuk memperjuangkan keluarganya,” kata beliau.

Nyalau juga berharap agar rakyat memberi peluang kepadanya sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat mereka bagi tempoh penggal kali kedua pada PRU13 nanti.

“Lagipun banyak projek pembangunan telah dilaksanakan oleh saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Nyipa sejak satu penggal menjadi wakil rakyat di Parlimen Lubok Antu,” katanya.

Dalam majlis itu Nyalau menyampaikan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Issu Bangat, Lidong.

No comments:

Post a Comment