Monday, 17 September 2012

Hujan tidak halang lebih 25,000 orang berkumpul


HUJAN tidak menghalang orang ramai yang penuh bersemangat hadir menyambut 
Hari Malaysia Ke-49, di Bintulu, Sarawak, malam tadi.

BINTULU 16 Sept. - Hujan renyai-renyai sejak petang ini tidak menghalang lebih 25,000 pengunjung berkumpul di Lapangan Terbang Lama Bintulu di sini bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2012 yang berlangsung malam ini.

Semangat ditunjukkan pengunjung yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama memperingati detik-detik bersejarah pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 dibuktikan apabila mula membanjiri lokasi sambutan seawal pukul 6 petang.

Sambutan bertemakan 'Janji Ditepati Rakyat Sejahtera' itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim serta isteri, Datin Seri Masnah Rais dan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Sakaran Dandai.

Datuk Temenggung Kanang Anak Langkau serta wira-wira negara seangkatan beliau mencuri tumpuan pengunjung apabila menyempurnakan upacara mengibarkan Jalur Gemilang bersama anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pada sambutan gilang-gemilang itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan dendangan pelbagai lagu patriotik, tarian, koir, tayangan video serta pertunjukan bunga api oleh lebih 600 artis kebudayaan.

Selain persembahan berbentuk patriotik, sambutan kali ini turut memberi pengiktirafan kepada tiga individu yang dipilih sebagai Tokoh Hari Malaysia iaitu Tan Sri Hamdan Sirat (bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak), Tan Sri Harris Mohd. Salleh (bekas Ketua Menteri Sabah) dan Ismail Embong (Pelukis Prolifik Negara).

Atlet Orang Kurang Upaya (OKU) negara, Hasihin Sanawi dan Muhammad Ziyad Zolkefli yang masing-masing membawa pulang pingat perak serta gangsa dalam Sukan Paralimpik baru-baru ini juga diiktiraf sumbangan mereka apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Cemerlang.

Turut berlangsung adalah penyampaian sijil Malaysia Book of Records (MBOR) kepada tiga acara yang telah mencipta rekod baru pada sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ogos lalu iaitu Twitter #Merdeka55 yang menerima 3.6 juta tweet dalam masa sejam, Perhimpunan Pengguna Twitter Teramai (10,128 peserta) dan Persembahan Dikir Barat Terbesar (8,500 peserta).

No comments:

Post a Comment