Tuesday 4 September 2012

Jangan bangkit isu negatif



SELAMAT HARI MERDEKA RAYA: Wan Junaidi bersalam mesra dengan salah seorang penduduk kampung yang menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 1Malaysia Merdeka Raya ‘Janji Ditepati’ 2012 malam kelmarin.


KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tunku Jaafar menegah rakyat di negara ini membangkitkan isu negatif yang boleh menimbulkan huru-hara sebaliknya me-mainkan peranan positif ketika di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tambahnya, kerajaan menyokong setiap perubahan namun ia harus dilakukan dengan cara yang lebih bertamadun.

“Lagipun rakyat Malaysia penuh ketatasusilaan dan setiap agama menyeru umatnya untuk menolak perkara yang buruk.

“Cuba kita lihat sebagai contoh, bendera Amerika Syarikat (AS) tidak pernah ditukar dan gambar Presiden Obama tidak pula dipijak-pijak oleh rakyatnya kerana mereka adalah orang yang bertamadun, hilang ketamadunan harus dielakkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 1Malaysia Merdeka Raya ‘Janji Ditepati’ 2012 di sini malam kelmarin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong menyuarakan kebimbangan terhadap kadar indeks jenayah yang semakin meningkat sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar tempatan kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Malaysia dianggap bertuah kerana sentiasa menjadi negara pilihan pelabur asing sejak 1980-an lagi.

“Jika kadar jenayah dapat dikurangkan ia akan menjadi lebih baik kerana lebih banyak pelabur asing masuk.

“Perkhabaran negatif boleh menakutkan pelabur asing untuk datang ke negara ini dan membuat pelaburan yang mana mereka sudahpun menjadi sebahagian daripada pemacu ekonomi negara sejak 1980-an,” jelasnya.

Pada majlis yang sama beliau turut menyeru agar keharmonian dan keselamatan penduduk kampung sentiasa menjadi keutamaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

“KRT harus dilihat sebagai penyumbang kepada keselamatan negara walaupun di peringkat kampung namun rantaiannya banyak bersangkut-paut.

“Kalau kita dalam keadaan aman dan damai kejiranan di kampung lain turut merasai-nya.

“Keamanan daripada kemerdekaan adalah tanggungjawab bersama untuk dijaga.

“Jangan kita seperti negara teluk, Iraq kaya dengan mineral asli minyak mentah namun kini telah dikuasai Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, perkara seperti itu harus dielakkan daripada berlaku di sini,” tambahnya.

Pada masa yang sama, upacara memotong kek Merdeka Raya 2012 ‘Janji Diepati’ dirasmikan oleh Wan Junaidi sambil disaksikan Pengerusi KRT Bintawa Hulu Nordin Arshad, Pengerusi KRT Taman Seri Jaya Matang Ahmad Suharno dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Dirwana Azool.

Antara aktiviti kemuncak majlis semalam adalah persembahan bunga api 25 das ditembak ke udara, persembahan lagu-lagu raya dan cabutan bertuah.

Majlis itu diharap dapat mengukuhkan perpaduan dan keharmonian di kalangan penduduk selain menggalakkan penyertaan golongan muda dalam program anjuran KRT.

No comments:

Post a Comment