Thursday 20 September 2012

Calon STAR diminta ‘berundur, berehat’

KUCHING: Calon Parti Reformasi Negeri (STAR) bagi Mas Gading Patrick Anek Uren harus terus ‘berundur dan berehat’ kata Pembantu Khas Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen, Mordi Bimol.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Anek dalam akhbar tempatan yang menyatakan bahawa DAP harus melupakan Mas Gading, iaitu salah satu daripada 31 konstituensi Parlimen di Sarawak.

“Masa beliau sudah berlalu dan beliau harus sedar. Politik hari ini berbeza (daripada era Anek),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mordi berkata sebagai penasihat parti STAR, adalah lebih baik bagi Anek untuk kekal tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan sebaliknya memberi peluang kepada calon lebih muda untuk bertanding.

“Beliau merupakan calon kitar semula, dengan lompat parti dari satu ke satu parti lain. Ini menunjukkan beliau tidak mempunyai pendirian tegas,” dakwa Mordi.

Sementara itu berhubung isu lain beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu lebih proaktif dalam mendidik orang awam mengenai sistem politik terkini di Malaysia.

Katanya, rakyat perlu mengamalkan hak mengundi mereka dan memahami bahawa mereka perlu mengundi tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Mordi menambah, parti berasaskan kaum tidak lagi relevan pada hari ini kerana ia telah dibuktikan gagal untuk memperjuangkan bangsa yang mereka wakili.

Beliau menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) seharusnya berhenti untuk mempergunakan isu bahawa DAP adalah parti berasaskan Semenanjung Malaysia.

“Kini semuanya adalah mengenai dasar. Dasar yang baik adalah apa yang kita perjuangkan. BN secara keseluruhanya gagal memperjuangkan hak rakyat Malaysia. Apa yang mereka telah lakukan 50 tahun lalu tidak mencukupi dan tidak berbaloi bagi tempoh masa yang diberikan,” dakwanya.

Misalnya kata beliau, walaupun kerajaan persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri telah mengagihkan 10,000 tangki air kepada penduduk luar bandar Sarawak, ia sepatutnya dilakukan pada 20 tahun lalu.

Sepatutnya hari ini rakyat mempunyai kehidupan yang selesa dengan bekalan air bersih dan dirawat, tambah beliau.

“Ini menunjukkan bahawa Sarawak adalah 20 tahun ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur. Ini bermakna kerajaan BN telah mengabaikan rakyat Sarawak selama lebih 20 tahun.

“Jadi di mana parti berasaskan rakyat Sarawak? Apa yang telah mereka lakukan untuk Sarawak pada 20 tahun lalu,” soal Mordi.

sumber:theborneopost

No comments:

Post a Comment