Monday, 3 September 2012

KDN segera tangani isu Jalur Gemilang dan pijak gambar PM

SUNGAI PETANI: Ke­menterian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak tegas dan menyegerakan proses un­dang-undang terhadap pelaku tindakan biadap melakukan provokasi mahu menukar Jalur Gemilang, memijak gambar Perdana Menteri serta memaki hamun pemimpin negara pada satu perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau mahu dalang dan ‘desperado’ atau golongan terdesak politik ini dihadapkan ke muka pengadilan kerana kepentingan rakyat yang ma­joritinya mahu melihat mereka diadili mengikut peraturan dan undang-undang yang ada.

“Rakyat kebanyakannya kini sudah jemu dan meluat dengan tindakan desperado politik ini yang sudah merasa mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lantas bertindak dan mencipta isu membangkitkan kebencian rakyat terhadap pemimpin kerajaan kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mer­asmikan Persidangan Perwaki­lan UMNO Bahagian Merbok yang dihadiri kira-kira 300 perwakilan di Dewan UiTM Merbok dekat sini semalam.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata polis sedang giat menjalankan siasatan dan pihak Peguam Negara pula akan mendakwa jika terdapat bukti kukuh mereka yang terlibat.

Katanya pihak pembang­kang sering menuding jari menjadikan UMNO sebagai kambing hitam segala aktiviti liar tetapi pembangkang akan menyaksikan kebenaran setelah siasatan selesai dijalankan.

“Kita tidak akan bertolak ansur dengan kerja-kerja negatif yang cuba menye­marakkan semangat bencikan pemimpin kerajaan yang selamanya dijadikan bahan cercaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata pihak berkuasa Malaysia bekerjasa­ma dengan pihak keselamatan Thailand bagi memantau aktiviti pihak pemisah di sana yang dikatakan memacak Jalur Gemilang pada lokasi-lakosi selepas pengeboman dilakukan di Selatan Thailand baru-baru ini. — Bernama

No comments:

Post a Comment