Monday 17 September 2012

Jangan persoal autonomi, perjanjian Sarawak

SIBU 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak tidak lagi mempersoalkan isu-isu seperti kuasa autonomi Sarawak dan perjanjian sewaktu penubuhan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, ia memandangkan Kerajaan Pusat dan negeri mempunyai persefahaman yang jitu dalam membangunkan negeri ini sehingga mampu melakar pelbagai kejayaan seperti menarik pelaburan bernilai RM30 bilion di wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Jelasnya, Kerajaan Pusat juga memenuhi hasrat negeri ini supaya SCORE diberi keutamaan sehingga bekalan elektrik yang dijana Empangan Hidro Elektrik Bakun dikhaskan kepada wilayah pembangunan itu dan rakyat negeri ini walaupun perancangan awalnya dibekalkan ke Semenanjung.

"Apabila kerajaan negeri Sarawak kata mesti beri keutamaan kepada pembangunan SCORE dan Sarawak, saya bersetuju serta-merta bahawa itu mesti diterima dan dihormati oleh kita.

"Sebab itu tidak perlulah kita persoalkan soal autonomi, soal Sarawak merdeka mengikut perjanjian kerana kita sudah ada persefahaman yang amat jitu.

"Jika tidak, tidak mungkin Sarawak boleh berjaya, tidak mungkin boleh tarik pelaburan RM30 bilion, tidak mungkin lancar Universiti Kolej Teknologi Sarawak dan pelbagai lagi yang kita telah dan akan laksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di pekarangan Masjid An-Nur, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Puan Sri Raghad Kurdi Taib dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pada majlis dihadiri kira-kira 10,000 tetamu itu, Najib turut menyerahkan geran pemulihan Masjid An-Nur sebanyak RM1 juta.

Sementara itu, tambah beliau, rakyat negeri ini tidak memerlukan pihak yang hanya 'sehari dua' ini membuat bermacam-macam pengisytiharan mengenai masa depan Sarawak.

Katanya, perkongsian kuasa sedia ada melalui kerajaan Barisan Nasional (BN) telah terbukti membawa pembangunan dan pembaharuan di negeri itu.

"Kemakmuran negara dikongsi bersama dan kita juga memberi perhatian kepada Sabah dan Sarawak supaya pembangunannya adalah saksama dengan Semenanjung.

"Sebab itulah bila kita berjanji, kita hanya menjanjikan sesuatu yang boleh ditunaikan, kita janji secara bertanggungjawab dan realistik dan sebab itulah bila Sarawak merdeka dalam Malaysia, Sarawak telah menjalani perubahan yang amat besar dan akan terus dibantu untuk berkembang pesat lagi," katanya.

sumber: utusan malaysia

No comments:

Post a Comment