Monday 17 September 2012

PR umum tujuh perkara dalam Deklarasi Kuching pikat hati rakyat Sarawak

KUCHING: Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan tujuh perkara dalam Deklarasi Kuching untuk pikat hati rakyat Sarawak.

Pengumuman deklarasi itu dilakukan oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Malaysia di Chonglin Park Kuching semalam.

Beliau memberitahu, tujuh perkara itu akan dilaksanakan dan direalisasikan sekiranya PR menjadi kerajaan selepas berjaya menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

“Bahawa sesungguhnya kami berpegang teguh dengan semangat perjanjian Malaysia 1963 yang telah dicetuskan dan dikendalikan oleh pemimpin kami yang terdahulu dan sebagai bukti tanda utuhnya kesetiaan kami terhadap rakyat Sarawak dan Sabah, berteraskan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan untuk Rakyat Malaysia seluruhnya.

“Dengan pengkhususan istimewa terhadap tujuh perkara dalam Deklarasi Kuching ini bahawasanya kami akan memelihara dan menjunjung setia dasar yang diterapkan dalam Buku Jingga supaya Malaysia bakal bangkit semula sebagai sebuah negara makmur, cemerlang, bersatu padu, berkembang maju, selamat, aman damai agar namanya harum di serata dunia,” katanya.

Anwar menjelaskan tujuh perkara itu adalah, pertama Kerjasama Bersekutu yang mana mereka akan memulihara inti pati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, Perwakilan Yang Adil, PR akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

Ketiga, Kewarganegaraan di mana mereka akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

Keempat, Pengiktirafan Hak Ke Atas Tanah Adat di mana PR akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

Kelima, Kecekapan dan Kemandirian Sarawak dan Sabah yang akan mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di jabatan kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat kerajaan persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

Keenam, Keadilan Dalam Isu Minyak, mereka akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber-sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Dan yang terakhir, Pembangunan Sekata, yang mana mereka akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.

Pengumuman Deklarasi Kuching itu semalam dihadiri lebih 200 orang yang terdiri daripada kalangan penyokong kuat PR.

Hadir sama Ketua Parti DAP Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya DAP Sarawak Wong Ho Leng, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan tetamu kehormat lain.

Terdahulu, Anwar menghadiri program ‘Bertemu Anwar’ yang dianjurkan Kelab Anwar Ibrahim (AIC) di sebuah hotel di sini semalam yang dihadiri kira-kira 80 orang.

No comments:

Post a Comment