Monday 24 September 2012

Utamakan kejayaan dalam PRU13

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Peter Chin menggesa semua pemimpin dan ahli parti terutama di peringkat cawangan mengetepikan perbezaan pendapat serta kepentingan peribadi demi kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 (PRU13) akan datang.

Berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat (CC) SUPP di ibu pejabat parti di sini semalam. beliau berkata pencapaian buruk parti itu pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri April 2011 tidak harus berulang dan ia merupakan tanggungjawab semua pihak dalam parti.

“Saya mahu menggesa semua ahli parti agar melupakan apa jua perbezaan yang mungkin wujud antara kita.

“Mari kita mengutamakan kepentingan parti bukannya peribadi dan memastikan kita sendiri bukan penyebab kegagalan calon parti memenangi kerusi diperuntukkan kepada kita pada PRU13 nanti.

“Tidak siapa boleh menyalahkan kita jika kita berusaha bersungguh-sungguh dengan penuh keikhlasan semata-mata untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon kita (SUPP),” katanya.

Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata demi memastikan kejayaan berpihak kepada parti, beliau dan Dato Sri Wong Soon Koh bersetutuju untuk ‘berdamai’ dan mengetepikan semua perbezaan dibangkitkan kedua-dua kumpulan itu pada Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu pada Disember tahun lalu.

Menurut Ahli Parlimen Miri itu, kata sepakat telah dicapai bahawa Wong Soon Koh akan bertanggungjawab terhadap kerusi Parlimen Lanang dan Bandar Sibu manakala Serian, Stampin, Bandar Kuching, Sarikei dan Miri di bawah jagaannya.

“Perkara berkaitan aduan Dato Sri Wong Soon Koh kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan dibangkitkan semula selepas PRU13, bagi saya inilah yang formula yang perlu dilaksanakan dan dengan cara ini pengundi tidak akan diheret dalam pertikaian parti yang boleh menyebabkan undi berpihak kepada pembangkang,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata walaupun ‘perjanjian damai’ telah ditandatangani antara beliau dan kumpulan Wong Soon Koh, aktiviti melobi calon tetap berlaku di Sarikei dan Miri.

Aktiviti itu ujarnya masih berlaku walaupun Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti telah mengeluarkan amaran kepada semua pemimpin dan ahli parti agar tidak melobi kerana ia merupakan tindakan menentang calon-calon yang telah dicadangkan oleh kepimpinan pusat.

Tindakan itu katanya akan menyebabkan kekeliruan kepada ahli dan orang ramai tentang orang atau pihak yang bertanggungjawab memilih calon untuk bertanding di tujuh kerusi diperuntukkan kepada SUPP.

“Pada pendapat saya dan juga pandangan ahli CWC, wujud keperluan yang kuat untuk mengekalkan disiplin parti berhubung perkara ini.

“Dalam mesyuarat CWC pada 6 September lalu kata putus dicapai untuk merujukan perkara ini kepada Jawatankuasa Disiplin Parti dua ahli parti yang melanggar disiplin parti (ini).

“Tindakan dua individu ini jelas bertentangan dengan kepentingan parti,” tegasnya.

Dalam ucapan perasmiannya Chin juga berkata ahli CC dan CWC sentiasa bekerja keras untuk menjadikan parti lebih diterima oleh pengundi tetapi usaha itu dinafikan oleh segelintir pemimpin dan ahli parti yang menentang secara terbuka dasar-dasar (parti) dan arahan pucuk kepimpinan.

Tindakan itu ujarnya hanya akan terus memecahkan parti itu kepada dua kumpulan yang berlaku pada Persidangan TDC tahun lalu.

“Kita mengharapkan menteri-menteri kita (daripada parti) sama ada kerajaan pusat atau negeri mengutamakan kepentingan parti berbanding perkara lain.

“Ramai mengatakan untuk melakukan yang terbaik pada PRU13 nanti adalah tugas yang sukar, ia memerlukan pemimpin dan ahli parti dari mana-mana kumpulan bekerja sama dan secara seiring bagi memastikan kita melancarkan kempen pilihan raya sebaik mungkin untuk memastikan pengundi menyokong Barisan Nasional (BN),” katanya.

Mesyuarat CC yang berlangsung semalam merupakan yang pertama selepas Persidangan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu diadakan Disember tahun lalu dan dihadiri 119 ahli CC dan pemerhati daripada cawangan SUPP seluruh negeri.

No comments:

Post a Comment