Monday 17 September 2012

Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia sama penting





NAJIB Tun Razak bersama pemimpin Persekutuan dan negeri serta rakyat jelata berbilang
kaum mengibarkan Jalur Gemilang meraikan sambutan Hari Malaysia Ke-49 di Bintulu, 
Sarawak, malam tadi. - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

BINTULU 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua pihak tidak membandingkan status Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia memandangkan dua hari kebesaran negara itu merupakan tarikh keramat yang sama penting dan amat signifikan kepada seluruh warga Malaysia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, tarikh 31 Ogos dan 16 September perlu dirai dan dihayati sepenuhnya setiap rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang.

Apa yang penting tambah beliau, rakyat perlu menerima pembaharuan dengan mengorak langkah ke hadapan bersama-sama kerajaan merealisasikan hasrat mencapai status sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Tidak perlulah mempertikaikan mana yang lebih besar, sama ada 31 Ogos atau 16 September lebih bermakna kerana kedua-dua adalah tarikh keramat untuk negara dan paling penting, Sarawak sudah merdeka dalam Malaysia.

“Orang Barat kata, ‘no use looking back but let us looking forward’ (tidak ada guna bergerak ke belakang sebaliknya marilah bersama-sama menuju ke hadapan), dan ‘looking forward’ (menuju ke hadapan) itu menjadi negara Malaysia yang maju sepenuhnya dan berpendapatan tinggi," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Hari Malaysia 2012 di Kampung Assyakirin, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais.

Pada majlis yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung itu, Najib turut merasmikan Padang Futsal Kampung Assyakirin serta menyampaikan sumbangan berupa wang tunai RM10,000 kepada empat buah kampung terpilih.

Dalam pada itu, kesanggupan orang ramai berbaris sepanjang kira-kira satu kilometer seawal 4 petang untuk menyambut ketibaan dan bersalaman dengan beliau turut menarik perhatian Najib.

“Kami mengambil masa 35 minit untuk sampai ke pentas kerana ramainya orang mahu bersalam dan perkara ini tidak ada dalam program.

“Kalau bersalam di sebelah kanan, yang kiri pula bertempik PM...PM. Malah, ada yang menjerit ‘I love u PM’, itu tidak mengapa jangan I ‘love u Najib’ takut jadi lain," seloroh beliau.

No comments:

Post a Comment