Tuesday 4 September 2012

Waspada individu suka ambil kesempatan



JUN SILAH
LIMBANG: Penduduk pedalaman di daerah ini perlu berwaspada dengan kehadiran individu atau pihak berkepentingan yang cuba menangguk di air keruh ketika mereka masih keliru dan ragu-ragu terhadap pelaksanaan inisiatif baharu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperkenalkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Batu Danau Jun Silah berkata kebanyakan penduduk kampung masih kurang arif mengenai inisiatif baharu NCR seperti yang termaktub di bawah Seksyen 6, Kanun Tanah Negeri bagi proses penyukatan perimeter tanah.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan pihak berkepentingan cuba menghasut rakyat dengan memfitnah kerajaan mahu merampas tanah mereka.

“Pembangkang memainkan isu dan fitnah kepada penduduk pedalaman supaya tidak menyukat tanah mereka kononnya tanah itu akan diberikan kerajaan kepada syarikat-syarikat lain,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurut Jun lagi, penduduk khususnya di pedalaman tidak seharusnya percaya dengan dakwaan tersebut yang secara terang-terangan cuba meracuni pemikiran rakyat agar menolak usaha kerajaan selama ini.

“Mereka yang masih ragu-ragu dan keliru mengenai inisiatif baharu (NCR) diingatkan agar mendapatkan penjelasan dan keterangan lanjut daripada sumber yang sah termasuk berhubung dengan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Kita juga minta agensi berkaitan turun padang menerangkan dasar kerajaan termasuk perkara berkaitan NCR,” tegasnya.

Tambah Jun, PBB juga akan terus memberi penerangan kepada penduduk dan ketua masyarakat mengenai inisiatif baharu NCR melalui perjumpaan dan perbincangan yang diadakan.

“Penduduk kampung perlu memberi kerjasama kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) bagi melancarkan proses penyukatan perimeter tanah yang telah mendapat kelulusan untuk berbuat demikian,” katanya.

Kerjasama tersebut menurut Jun penting bukan sahaja untuk melancarkan proses penyukatan tanah NCR malah memberi manfaat dan keuntungan kepada pemilik tanah itu sendiri pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment