Monday 3 September 2012

Wong Judat kini sah ahli SWP

Permohonan dilulus sebulat suara serta dilantik jadi ahli MT dan Naib Presiden: Larry

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat kini menjadi sebahagian daripada Parti Pekerja Sarawak (SWP) setelah permohonannya menjadi ahli diluluskan oleh Majlis Tertinggi parti, semalam.

Presiden SWP Larry Sng memberitahu, Wong secara automatik turut dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi serta Naib Presiden parti berdasarkan kedudukannya sebagai seorang wakil rakyat.

“Majlis Tertinggi meluluskan permohonan Wong Judat tanpa sebarang bantahan, sejajar dengan dasar pintu terbuka parti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti di ibu pejabat SWP, Jalan Tun Jugah di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden SWP George Lagong, yang juga ADUN Pelagus.

Wong yang merupakan bekas naib presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengumumkan hasratnya keluar parti pada 7 Ogos lepas dan kemudiannya menyerahkan surat peletakan jawatannya menerusi pos.

Tindakan itu diambil bagi mengelak pergolakan peribadi antara beliau dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) merebak antara parti.

Beliau juga dipercayai menyertai SWP bagi membolehkannya bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Kerusi itu sekarang disandang oleh Salang selepas memenanginya pada PRU 2008.

Sng turut menegaskan bahawa parti tidak pernah memaksa atau sengaja menarik Wong ke dalam SWP.

“Kita (SWP) tidak pernah menarik Wong (untuk menyertai parti)… SWP mempunyai dasar pintu terbuka kepada sesiapa yang berkongsi matlamat dan perjuangan parti, untuk menyertai kami,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada kemasukan Wong ke dalam SWP sekali gus menjadikan beliau sebagai calon parti itu di kerusi Julau.

Sambil mempercayai PRU13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat, Larry memberitahu perkara itu hanya akan dimaklumkan kemudian setelah mencapai kata sepakat daripada ahli Majlis Tertinggi.

“Sebarang keputusan berhubung calon (PRU13) akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi kerana SWP bukan parti berasaskan seorang individu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Larry turut menepis dakwaan terdapat ‘tangan ghaib’ yang memberi sokongan kepada parti tersebut di Sarawak.

Walaupun parti itu mesra Barisan Nasional (BN), kata-nya, SWP tidak pernah memohon secara rasmi untuk menjadi salah satu daripada parti komponen di negeri ini.

Justeru penerimaan bantuan daripada BN negeri, katanya, adalah satu perkara yang mustahil walaupun SWP mesra BN.

“Kita (SWP) tidak pernah memohon untuk menyertai BN. Oleh itu, kita bukan BN dan tidak mungkin BN menyokong kita,” katanya.

Larry turut menafikan penubuhan SWP adalah berikutan dendam peribadinya dengan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Masing, berikutan keputusannya untuk bertanding di semua kerusi Parlimen parti itu.

Beliau menegaskan, parti itu memperjuangkan dan mengutamakan hak penduduk Sarawak dan bukan atas kepentingan peribadi.

“Kita memutuskan untuk bertanding di semua kerusi PRS bukan kerana dendam peribadi tetapi kerana kita mahu menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk.

“SWP mesra kepada PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), SPDP, SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) tetapi agak kurang sikit dengan PRS,” katanya.

Beliau juga enggan meng-ulas lanjut ketika ditanya mengenai khabar angin kemasukan Wong adalah petanda parti akan bekerjasama untuk menumpaskan PRS.

Katanya, mereka sekadar berhasrat untuk menang pada PRU13 dan ia tidak ada kena mengena dengan dendam peribadi.

“Parti juga sudah mempunyai nama calon mampu menang, sekurang-kurangnya dua orang di setiap kerusi,” katanya sambil menambah perkara itu akan dibincangkan semula di peringkat Majlis Tertinggi menjelang PRU13.

Larry turut mengulangi pendirian parti untuk bertanding di enam kerusi PRS iaitu Sri Aman, Lubok Antu, Selangau, Julau, Hulu Rejang dan Kanowit.

“Kita sudah mempunyai senarai calon. Tetapi memandangkan pilihan raya tidak akan diadakan pada waktu terdekat, ia hanya akan didedahkan kemudian,” katanya.

No comments:

Post a Comment