SIBU: Sibu masih memerlukan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi memacu kemajuan yang lebih pesat dan berterusan.
Ahli Parlimen Lanang merangkap Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Tiong Thai King berkata, kerajaan negeri dan pusat merangka banyak pelan pembangunan untuk bandar ini yang diterajui oleh barisan wakil rakyat BN di sini.
“Ada antaranya (projek pembangunan) sudah mula dilaksanakan dan ada yang masih dalam cadangan atau pelan.
Ini semua adalah untuk kesejahteraan dan keselesaan rakyat sendiri.
“Jika dua kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bahagian Sibu kesemuanya jatuh ke tangan pihak pembangkang, ia adalah satu kerugian kepada rakyat itu sendiri kerana pembangkang atau pihak lain selain BN tidak mampu membawa Sibu ke arah pembangunan yang pesat di kemudian hari.
“Oleh itu, Sibu memerlukan kuasa BN untuk membawa bahagian ini terus maju dengan pesat di samping ekonomi yang kukuh untuk rakyatnya pada masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu di sini, semalam.
Sebanyak 52 badan bukan kerajaan (NGO) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah konstituensi Parlimen Lanang menerima MRP terbabit yang keseluruhannya berjumlah RM238,000.
Hadir sama dua Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Kaunselor Chieng Buong Toon serta Oliver Kuo dan dua Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Lanang Tang Tung King serta Michael Kiu.
Tiong berkata, jika pihak pembangkang memerintah bandar ini, tiada pembangunan yang akan dikecapi oleh masyarakat Sibu kerana pembangkang tidak mempunyai kuasa atau peruntukan seperti BN.
“Pembangkang hanya tahu bercakap sahaja tetapi mereka tidak pandai mentadbir sesebuah kawasan milik mereka.
Lihatlah apa yang terjadi di Parlimen Sibu, DUN Pelawan, DUN Bukit Assek dan DUN Dudong.
Semua kawasan itu milik pembangkang dan lihatlah apa yang mereka telah laksanakan setakat ini.
“Itulah kesilapan kita jika tidak bijak memilih pemimpin. Kerugian itu bukan dialami pemimpin tetapi rakyat sendiri. Oleh itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, pastikan bahawa kesilapan itu tidak diulangi lagi.
“Berikan mandat sepenuhnya kepada BN untuk memerintah demi kesejahteraan dan keselesaan kita bersama.
“Hakikatnya, Sibu amat memerlukan BN untuk membawa lebih banyak pembangunan di sini termasuk impian untuk menjadi sebuah bandar raya,” katanya yang juga merupakan Setiausaha SUPP Cawangan Sibu.
Dalam pada itu, Tiong berharap penerima geran MRP dapat memanfaatkan peruntukan kewangan itu ketika menjalankan aktiviti persatuan, pertubuhan dan badan-badan kebajikan masing- masing.
Menurutnya, rakyat sememangnya bertuah kerana kerajaan BN sentiasa prihatin akan kemudahan dan infrastruktur terutamanya penduduk di kawasan luar bandar.
“Maka, diharapkan anda (penerima geran MRP) dapat menghargai pemberian kerajaan BN ini dengan memberikan sokongan penuh dan kepercayaan kepada kerajaan,” tambah beliau.
Sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment