BAU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) mempergiatkan usaha merampas kawasan Parlimen Mas Gading daripada penyandangnya, Barisan Nasional (BN).
Calon DAP Mas Gading Mordi Bimol dalam ceramahnya di pekan Bau malam kelmarin berkata sudah tiba masanya untuk rakyat di kawasan ini menumbangkan BN dan menaikkan Roket (DAP).
Katanya rakyat di kawasan ini telah memberikan peluang yang terlalu lama untuk BN memerintah Mas Gading, namun pembangunan yang dinikmati tidak seperti yang dijanjikan.
“Saya menerima banyak keluhan dan aduan daripada penduduk di kawasan Mas Gading terutama di kawasan kampung-kampung di mana mereka masih tidak dibekalkan dengan bekalan air bersih dan elektrik.
“Wakil rakyat seharusnya berani membawa masalah rakyat dan memperjuangkan hak-hak rakyat dan bukannya mendiamkan diri dan menikmati dengan sewenang-wenangnya kuasa yang diberikan oleh rakyat.
“Oleh itu, kita perlu ubah. Penduduk di Mas Gading perlu memberi peluang kepada saya dan DAP untuk memerintah bagi penggal seterusnya,” katanya dengan penuh keyakinan di hadapan kira-kira 500 penduduk yang menghadiri ceramah berkenaan.
Mordi yang juga merupakan pembantu khas kepada Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen turut memberi jaminan akan memberikan khidmat terbaik jika dipilih untuk penggal lima tahun akan datang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
“Saya harap penduduk Mas Gading akan memberi peluang kepada saya untuk mewakili anda pada penggal akan datang dan jika saya gagal melaksanakan amanat dengan baik anda boleh menolak saya,” katanya.
Mordi dalam ceramahnya turut mengingatkan rakyat Mas Gading supaya mengundi kerana tahu dan bukannya kerana takut akan ugutan pemimpin-pemimpin BN.
“Undi kerana tahu dan bukan kerana takut akan ugutan-ugutan pemimpin BN.
“Anda yang hadir pada ceramah malam ini, bawa mesej yang kami sampaikan kepada rakyat dan penduduk di tempat anda masing-masing,” ujarnya.
Ceramah itu bermula sekitar jam 7.00 malam hingga 10.30 malam dan turut disertai oleh pemimpin-pemimpin DAP yang lain.
Antaranya, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Chong Chieng Jen, ADUN Pending Violet Yong, ADUN Padungan Wong King Wei, Setiausaha Publisiti DAP Negeri Leon Jimat Donald dan Pengerusi DAP Cawangan Serian Edward Luak.
Sumber:theborneopost.
No comments:
Post a Comment