Wednesday 19 September 2012

Sarawak yakin potensi hidro


PROJEK UNTUK RAKYAT: Taib melihat model Projek Empangan Hidro Elektrik Batang Ai semasa menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat dan Identiti Korporat SEB yang baharu di Sejingkat, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi


Pendapatan per kapita akan melonjak, ekonomi positif hasil sumbangan SEB: KM

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin Sarawak mampu mencatatkan pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000 atau kira-kira RM46,500 dalam tempoh lima tahun akan datang.

Keyakinan itu disuarakan berdasarkan pertumbuhan positif ekonomi negeri yang banyak disumbang oleh kemajuan industri tenaga diterajui Sarawak Energy Berhad (SEB).

Bercakap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat dan Identiti Korporat Baharu SEB di Ithmus di sini semalam, Taib berkata SEB atau SESCo pada awal kewujudannya pada 1923 hanya mampu mengeluarkan separuh megawatt (MW) tenaga elektrik tetapi ketika ini berjaya mencapai jumlah membanggakan 3,500 MW iaitu 7,000 kali ganda.

Pertumbuhan itu, katanya, berpunca daripada pendekatan berani diambil SEB untuk membangunkan potensi tenaga hidro di negeri ini dengan tidak hanya mengambil kira penggunaan tenaga elektrik untuk pengguna biasa, penduduk dan industri tempatan, malah industri berat dari luar negara.

Kemampuan Sarawak menyediakan tenaga elektrik yang berdaya saing dengan kapasiti 20,000 MW dalam tempoh 20 tahun akan datang, katanya, sudah tentu membolehkan pembangunan banyak industri apabila industri hiliran mendapat kesan daripada kemajuan industri berat di Samalaju.

“Sepuluh tahun lalu, saya bertanya, ‘Apa selepas kelapa sawit?’ selepas kita berjaya mencapai sasaran menanam satu juta hektar kelapa sawit semenjak 1980-an. Tidak banyak boleh dilakukan selepas itu.

“Bermula dari detik itu, saya mengarahkan SESCo melihat rekod dan membuat kajian mendalam. Kita mendapati Sarawak mempunyai potensi membangunkan lebih 20,000 MW tenaga di negeri ini,” katanya.

Taib menambah, dunia kini berdepan situasi defisit bekalan minyak mentah menyebabkan harga tenaga alternatif jauh lebih mahal berbanding petrol atau diesel.

Oleh itu, katanya, beliau mahu Sarawak membangunkan sektor perindustrian di negeri ini berdasarkan persaingan daripada kawasan sekitar, terutamanya pembangunan di lembangan Sungai Mekong.

“Inilah permulaan kepada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dua tahun lepas, tetapi masalah paling besar ialah melihat bagai-mana potensi itu dapat direalisasikan, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira pembangunan sumber tenaga kita.

“Kepakaran teknikal kita tidak mencapai piawaian yang diharapkan untuk meningkatkan pengeluaran tenaga elektrik dalam tempoh 20 tahun iaitu lebih 20,000 MW ditambah pasaran hasil perkila- ngan dalam negeri yang sangat kecil kerana hanya mempunyai 2.5 juta penduduk,” ujarnya.

Justeru, katanya, usaha perlu difikirkan untuk membawa Sarawak selangkah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain dan pada masa sama, dapat membentuk masa depan berdasarkan kekuatannya sendiri.

Mengenai pembinaan ibu pejabat dan pelancaran identiti korporat SEB yang baharu, Taib berkata, ia membawa banyak makna bukan sahaja dari aspek binaannya yang menerapkan konsep jimat tenaga, malah menyingkap banyak sejarah SESCo sejak 1963 apabila Sarawak dan Sabah bersama Semenanjung bersatu membentuk Malaysia.

“Pada 1923 kita bermula dengan hanya separuh MW elektrik dan hari ini kita berjaya mencapai jumlah membanggakan 3,500 MW dalam tempoh 90 tahun iaitu 7,000 kali ganda.

“Apabila Datuk Amar Abdul Hamed Sapawi menjadi Pengerusi SEB pengeluaran tenaga elektrik meningkat lebih 2,000 MW, sekarang mencecah 3,500 MW dan pada 2020, ia boleh mencapai 5,000 hingga 6,000 MW bergantung kepada secepat mana kita boleh membina empangan hidro elektrik dan permintaan daripada industri,” ujarnya.

Beliau juga percaya sasaran untuk Sarawak mengeluarkan tenaga elektrik sebanyak 20,000 MW dalam tempoh 20 tahun akan datang mampu dicapai kerana rakyat negeri ini terkenal dengan sikap fokus mereka dan anugerah diberikan semakin bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya percaya SEB di bawah Pengerusinya yang sangat dedikasi, begitu juga CEO berpengalaman (Torstein Dale Sjotveit) mereka akan mendapatkan lebih ramai orang yang berkualiti dan cintakan negara serta sanggup menyumbang kepada kejayaan Sarawak menyertai pasukan SEB untuk menjadikan organisasi ini berkembang tiga atau empat kali ganda berbanding saiznya sekarang.

“Saya juga yakin bangunan baharu ini merupakan lambang pertumbuhan berterusan SEB, pertumbuhan Sarawak yang moden berdasarkan program perindustrian yang lebih besar daripada apa kita impikan. Tahniah kepada semua warga kerja SEB,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment