Thursday 6 September 2012

Masing abaikan khabar angin

Tidak ambil serius khabar angin untuk ‘memusnahkan’ beliau dan calon PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing tidak mengambil serius khabar angin untuk ‘memusnahkan’ beliau dan calon PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) akan datang.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, sebaliknya beliau akan mengetepikan spekulasi seperti itu kerana ia sudah sering kali dinyatakan sebelum ini.

“Saya merasakan ia hanya khabar angin sahaja. Jika ia khabar angin saya ketepikan sahaja dan tidak perlu untuk saya mengulas.

“Saya biasanya tidak mempercayai khabar angin dan sudah lama saya mendengarnya malah kerap kali saya sudah mendengarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri 1 Divisyen yang dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah di Kem Penrissen di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian berhubung kenyataan dalam satu laman portal bloger yang dipetik sebagai berkata, khabar angin berleluasa untuk ‘memusnahkan’ Masing dan calon PRS pada PRU akan datang muncul ekoran daripada satu pertemuan sulit antara parti baharu kontroversi, Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Berhubung pakatan yang didalangi oleh individu lain, juga daripada Barisan Nasional (BN) bagi membantu SWP, Masing berkata, beliau tidak percaya dengan perkara itu.

“Saya percaya BN mesti bekerjasama dengan penuh ikhlas, jadi saya lebih suka untuk tidak mempercayai khabar angin itu buat masa sekarang.

“Saya tidak berurusan dengan khabar angin,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh itu.

Menurut portal itu lagi, khabar angin itu dikukuhkan lagi ekoran tindakan ADUN Meluan Wong Judat keluar daripada SPDP.

Malah Judat telah dilantik sebagai naib presiden SWP meskipun peletakan jawatannya dalam SPDP belum diputuskan lagi.

Khabar angin mengenai ‘pakatan sulit’ itu semakin berasas apabila Judat membawa masuk lebih 90 orang pemimpin dan ahli peringkat akar umbi SPDP termasuk 33 tuai rumah mewakili kira-kira 3,000 ahli SPDP dari Meluan dan Pakan untuk mengadakan pertemuan sulit dengan Presiden SWP Larry Sng.

sumber:theborneopost

No comments:

Post a Comment