Wednesday, 5 September 2012

Billy tetap buka bilik gerakan hadapi pilihan raya umum



BILLY Abit Joo (kanan) melakukan upacara miring pada majlis perasmian bilik gerakannya di Kapit, Sarawak, kelmarin.


KAPIT 4 Sept. - Walaupun Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing mengesahkan muka baru akan dicalonkan mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Hulu Rajang, penyandangnya, Datuk Billy Abit Joo tetap membuka bilik gerakan.

Menurut Billy, bilik gerakan di sebuah bangunan kedai di kawasan Bleteh di sini itu membuktikan keseriusannya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Berucap melancarkan bilik gerakan berkenaan, beliau yang sudah lima penggal mewakili Parlimen Hulu Rajang berkata, walaupun calon yang akan dipilih bagi mempertahankan kerusi itu belum diketahui, adalah penting bagi beliau untuk membuat persiapan awal.

"Kita harus sedar hanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan mengumumkan nama calon yang bertanding.

"Oleh itu, amat baik untuk kita menubuhkan bilik gerakan ini bagi menunjukkan kesediaan dalam menghadapi pilihan raya itu sebagaimana Perdana Menteri serius memilih calon yang boleh menang," katanya di sini malam tadi.

Selain bilik gerakan berkenaan, Billy turut menubuhkan bilik operasi yang hampir serupa di pekan Belaga serta di rumah panjang Uma Belor, Skim Penempatan Semula Bakun, di Sungai Asap.

Baru-baru ini, Masing mengesahkan Wilson Ugak Kumbong akan dicalonkan menggantikan Billy bagi mempertahankan kerusi Hulu Rajang pada pilihan raya umum nanti.

Sementara itu, Billy terus mengharapkan sokongan dan kerjasama yang sedia terjalin antara semua pihak dalam komponen BN bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

No comments:

Post a Comment