Monday 24 September 2012

Jawatankuasa Pusat SUPP persetujui 11 resolusi dan usul



SETUJU: Chin (tengah) ketika mempengerusikan sidang media di Kuching semalam.


KUCHING: Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempersetujui 11 resolusi dan usul yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada mesyuarat yang berlangsung semalam.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibu pejabat SUPP di sini.

Menurutnya antara usul penting yang dipersetujui jawatankuasa tersebut ialah senarai calon yang dikemukakan parti untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen diperuntukkan kepada SUPP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Jawatankuasa Pusat mencapai kata sepakat untuk menyokong dan mengesahkan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat dalam mencalonkan nama-nama ini untuk mempertahankan kerusi Parlimen diperuntukkan kepada SUPP.

“Mereka ialah Tan Kai untuk Bandar Kuching, Lo Khere Chiang dan Wilfred Yap (Stampin), Richard Riot (Serian), Ding Kuong Hiing (Sarikei), Vincent Lau (Sibu), Tiong Thai King (Lanang) dan Sebastian Ting (Miri),” katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air itu menambah, usul kedua penting yang dipersetujui CC parti itu ialah semua ahli parti yang memegang jawatan politik dalam kerajaan mesti mendapatkan nasihat dan mematuhi keputusan serta dasar parti apabila menjalankan tugas mereka yang melibatkan kepentingan parti.

Beliau menambah, antara tugas yang dimaksudkan ialah pencalonan ketua masyarakat, ketua kaum, pengerusi Majlis Perbandaran dan kaunselor, setiausaha politik, penerima anugerah negeri dan persekutuan serta jawatan lantikan politik lain.

“Ini adalah bertujuan menegakkan prinsip dan disiplin parti yang sebelum ini tidak pernah dilakukan,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu pada mesyuarat itu beberapa ahli CC membangkit isu agar bekas Timbalan Setiausaha Agung Dato Sri Wong Soon Koh dipecat daripada parti, bagaimanapun berkata perkara tidak dibincangkan lanjut.

“Dalam mesyuarat ahli CC berhak membangkitkan isu atau cadangan mereka dan dalam kes ini ia tidak dibincangkan secara terperinci,” ujarnya.

Chin menambah, antara usul lain yang dipersetujui semalam ialah SUPP menggesa Kerajaan Negeri Sarawak mengehadkan tempoh pengambilan tanah bagi tujuan kegunaan awam di bawah Seksyen 47 Kanun Tanah Negeri kepada tiga tahun untuk membolehkan masa pengambilalihan luput secara automatik.

Parti katanya turut menggesa agar tanah yang diperolehi sedemikian digunakan untuk kegunaan awam semata-mata.

“SUPP juga menggesa kerajaan negeri dan persekutuan agar mempercepatkan usaha memajukan perumahan mampu milik di seluruh negeri khususnya di daerah perbandaran baharu untuk membantu keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.

“Usul kelima pula ialah agar Barisan Nasional (BN) mematuhi perkara-perkara persefahaman yang ditandatangani pada 1970 semasa penubuhan kerajaan perikatan negeri Sarawak khususnya berdasarkan prinsip perundingan pada peringkat BN berhubung isu-isu penting melibatkan dasar dan langkah menjejaskan kepentingan parti-parti komponen serta rakyat Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment