Wednesday 5 September 2012

Jangan tuduh BN gagal laksana projek, kata Masir



TURUN PADANG: Masir Kujat (lima kiri) bersama Harden (enam kiri) semasa melakukan tinjauan di tapak projek baik pulih hakisan tanah bukit SK Saint Luke Sri Aman, semalam.


SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat mengingatkan parti pembangkang agar tidak menuduh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan projek pembangunan di kawasan Sri Aman selama ini.

Tuduhan yang menyatakan wakil rakyat Sri Aman tidak buat kerja kurang tepat setelah dua projek di kawasan Sri Aman yang bakal mengubah taraf hidup rakyat di sini akan siap tidak lama lagi.

Projek pembinaan hospital baharu bernilai RM200 juta dan naik taraf Loji Rawatan Air Empango Bayai bernilai RM43 juta yang sedang giat dilaksanakan di Sri Aman adalah bukti wakil rakyat bersungguh-sungguh membela nasib rakyat di Sri Aman, ujarnya.

“Saya berharap parti pembangkang lebih berhati-hati semasa melemparkan tuduhan mengenai pembangunan rakyat di Sri Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai upacara serah dokumen kontrak projek baik pulih hakisan tanah daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kepada syarikat Megas Maju Sdn Bhd di SMK Saint Luke kelmarin.

Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis bersama Masir telah melakukan lawatan tapak projek membaik pulih hakisan tanah di kawasan berbukit SK Saint Luke yang bernilai RM650,000.

Projek baik pulih itu dilaksanakan oleh syarikat Megas Maju Sdn Bhd dan dijangka siap sepenuhnya pada 3 Mac tahun depan

Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Cassidy Morris telah menyerahkan dokumen projek kepada syarikat Megas Maju sambil disaksikan Harden bersama Masir dan kakitangan kerajaan yang lain.

No comments:

Post a Comment