KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe melihat tiada siapa yang mampu menawan konstituensinya termasuk Parti Tindakan Demokratik (DAP), jika beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Menurutnya, walaupun DAP mempergunakan anak tempatan Mordi Bimol sekalipun, ia tidak akan dapat menjejaskan kedudukan beliau di situ.
Sebaliknya, beliau menyifatkan kerja-kerja agresif yang dibuat Mordi sejak kebelakangan ini untuk mendapat nama di Mas Gading hanya mengganggu keamanan kawasannya.
“Dia (Mordi) tidak tahu apa-apa dan baharu bermula.
“Dia pergi menuding jari ke tempat kotor tetapi dia sendiri tidak berbuat apa-apa, dia hanyalah alat semata-mata.
“Jika DAP mahu melawan saya, amat dialu-alukan dan kita akan lihat bagaimana.
“Selagi saya bertanding, saya yakin untuk memenangi kerusi tetapi jika calon (BN) lain, itu cerita lain,” katanya yang turut mencabar Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen untuk bertanding sekiranya mereka begitu yakin untuk merampas kerusi yang disandangnya sejak 1999 itu.
Beliau ditemui pada Majlis Pelepasan Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 3/9 2012 ke Kem Putra Sentosa, Sematan di Dewan Suarah Kuching, di sini semalam.
Menjawab tuduhan DAP semasa ceramah pada malam Sabtu lepas di pekan Bau yang menyatakan bahawa beliau tidur di tempat kerja, Dr Tiki berkata ia adalah amat tidak berasas.
“Ini menunjukkan DAP bodoh, mereka tidak mempunyai telinga, mata dan mulut.
“Bagaimana mereka datang ke Bau, adakah mereka berjalan kaki ke Bau.
“Saya marah dengan tuduhan ini… jika tuduhan mereka benar, mereka tidak akan dapat pergi ke Bau dengan memandu hanya 20 minit,” kata Dr Tiki.
Dalam pada itu, Dr Tiki turut menyelar tindakan DAP yang membuat kutipan derma untuk meningkatkan dana mereka daripada orang awam semasa ceramah tersebut.
Sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment