SIBU 4 Sept. - Masyarakat Cina di negeri ini diseru menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi memastikan wakil kaum itu berada dalam Kerajaan Pusat.
Menteri Kewangan Ke-II, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, dengan cara itu sahaja suara mereka akan didengari oleh kerajaan.
"Daripada 31 Kerusi Parlimen di Sarawak, hanya tujuh diperuntukkan kepada kaum Cina.
"Secara keseluruhannya, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 35 kerusi adalah milik kaum Cina.
"Oleh itu, jika mereka terus memihak calon pakatan pembangkang, kaum Cina di sini tidak akan mempunyai suara dalam kerajaan suatu hari nanti," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada 53 persatuan di sini semalam.
Dalam pada itu, Soon Koh merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat negeri turut menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai seorang pemimpin yang berfikiran terbuka.
Katanya, sejak tampuk kepimpinan negara diterajui Najib, jelas kelihatan banyak perubahan yang berlaku.
"Namun, masih banyak perubahan yang perlu dilakukan dan untuk melakukannya kita perlu menyelesaikan satu persatu.
"Jika diberi masa, Perdana Menteri mampu membawa lebih banyak perubahan dan pembangunan," katanya.
No comments:
Post a Comment