Saturday, 4 February 2012

RM53j tanam semula getah

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
utusansarawak@utusan.com.my

Bernard Dompok (kanan) bersama Alfred Jabu meninjau tapak semaian getah Bebangai di
Betong, Sarawak, semalam.


BETONG 3 Feb. - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM53 juta kepada Jabatan Pertanian Sarawak bagi projek tanaman baharu getah membabitkan kawasan seluas 10,000 hektar di seluruh negeri itu.
Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, ia merupakan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM194 juta untuk tanaman semula dan baharu getah di seluruh negara di bawah projek pembangunan bidang utama ekonomi negara (NKEA).
"Ia merupakan inisiatif kerajaan lebih fokus kepada sesuatu bidang yang memberi impak ekonomi yang lebih bermakna.
"Kesemua projek ini akan dipantau dengan teliti bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual dan memberi faedah kepada golongan sasaran terutama para pekebun kecil getah," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tanam Semula Dan Tanam Baharu Getah di bawah program NKEA dan Koperasi Pekebun Kecil Lada Bahagian Betong, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu; Menteri Muda Kebajikan negeri, Robert Lawson Chuat; Ahli Parlimen Kapit merangkap Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Datuk Alexander Nanti Linggi.
Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Datuk Ahmad Hamzah.
Bernard berkata, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan program-program pengusahaan tanaman komoditi bagi meningkatkan produktiviti sektor pertanian di luar bandar.
Kemudahan tersebut, tambahj beliau termasuk menyediakan insentif bagi tanaman baharu dan tanaman semula komoditi.
Justeru katanya, masyarakat luar bandar harus bersedia menerima setiap program yang telah dirancang dan terus memberi kerjasama kepada agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab.
"Ia kerana kerajaan amat memandang serius usaha meningkatkan pendapatan dan kebajikan rakyat negara ini, termasuk para petani di kawasan luar bandar," katanya.

No comments:

Post a Comment