Monday 17 March 2014

Yussibnosh bertanggungjawab kepada keluarga


KELUARGA CALON: Balo (tengah) bersalaman dengan anaknya Yussibnosh (tiga kanan). Turut kelihatan Lumun (kanan) dan Elizabeth (kiri) serta cucu-cucunya (cucu Balo).


Balo menyifatkan anaknya seorang yang sangat mengambil berat, bertanggungjawab terhadap keluarga


MUKAH: Bakal calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Balingian Yussibnosh Balo disifatkan ahli keluarganya sebagai seorang yang amat bertanggungjawab kepada keluarga.

Bapanya, Balo Dulut, 72, berkata Yussibnosh sentiasa bersamanya serta menjaga makan minum dirinya (Balo) dan isterinya (Lumun Bedus, 69).

Sehubungan itu, beliau menyifatkan anaknya seorang yang sangat mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

“Beliau mempunyai sifat tanggungjawab yang tinggi, kerana beliau tidak pernah mengabaikan saya dan isteri saya.

“Beliaulah yang menyara makan minum saya bersama isteri dan keluarganya dan saya sangat selesa tinggal bersama beliau dalam satu rumah.

“Oleh itu, saya dan isteri saya memang sentiasa bersama dengan beliau, boleh dikatakan di mana sahaja beliau kami memang dibawanya bersama dengan isteri dan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di sini semalam.

Yussibnosh merupakan anak sulung daripada lima adik-beradik daripada sebuah keluarga kurang berada di Kampung Tellian.

Ketika anak-anaknya masih kecil dahulu, Balo menyara mereka dengan bekerja sebagai penebang rumbia dan nelayan.

Hidup mereka amat payah dan persekitaran sedemikian menjadikan anaknya begitu bertanggungjawab dan matang.

Dengan sikap bertanggungjawab dimiliki anak sulungnya itu, beliau yakin Yussibnosh mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat Balingian jika menang pada 29 Mac kelak.

Mengulas mengenai Yussibnosh bakal menjadi calon BN, Balo berkata beliau memang tidak pernah mengetahuinya sehinggalah anaknya diarahkan ke Kuching.

“Saya pun terkejut apabila mendengar beliau adalah calon. Saya mengetahui perkara tersebut ketika berada di Kuching,” katanya yang sudah mempunyai 21 orang cucu.

Justeru, Balo berharap Yussibnosh dapat menjalankan tugas dengan baik dan jujur sebagaimana beliau menjalankan tanggungjawab kepada keluarganya.

Berkelulusan Sarjana Muda Pentadbiran Awam (Kepujian) daripada Universiti Utara Malaysia, Yussibnosh mempunyai pengalaman yang luas.

Pada 1986 beliau pernah menjadi guru sandaran tidak terlatih di SMK Three Rivers, Mukah.

Pada 1991 pula beliau pernah berkhidmat sebagai ‘Permit Man’ secara kontrak dengan Overseas Petroleum dan Investment Corporation (SK-12 Malaysia Branch).

Seterusnya, pada 1993 hingga 1998 beliau berkhidmat sebagai pegawai tadbir (N3) di Pejabat Daerah Simunjan.

Pada 1998 sehingga 2002, beliau berkhidmat sebagai pegawai tadbir (N3) di Pejabat Daerah Matu.

Pada 2002 hingga 2008 pula, beliau berkhidmat sebagai pegawai tadbir (N41) di Pejabat Daerah Bau.

Pada 19 Disember 2005 beliau berkhidmat sebagai pegawai tadbir (N44) di Pejabat Daerah Bau.

Pada Julai 2008 beliau telah dipindahkan ke Dalat hingga 14 Mac 2014 dengan berkhidmat sebagai pegawai daerah (N48) di Pejabat Daerah Dalat.

Isterinya, Elizabeth Nelson memberitahu mereka mempunyai tujuh anak iaitu empat lelaki dan tiga perempuan dan anak sulung mereka menyambung pelajaran ke sebuah kolej tempatan di Kuching.

Elizabeth turut berharap semoga suaminya berjaya dalam jawatan yang bakal disandang serta mampu membantu masyarakat di kawasan DUN Balingian khususnya.

“Saya berharap beliau berjaya dan cemerlang dalam kerjayanya dan sekarang ini beliau telah dipilih untuk menjadi calon PBB-BN untuk menghadapi PRK DUN Balingian.

“Semoga harapan kita semua dapat dicapai dan membantu rakyat terutama yang memerlukan,” katanya. - theborneopost

No comments:

Post a Comment