MUKAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian boleh dijadikan contoh kerana paling aman dan tenteram di kalangan 20 PRK lain, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof.
Menurutnya, selepas penamaan calon pada 17 Mac dan sehingga pusat-pusat undi ditutup, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung salah laku pilihan raya.
“PRK yang begitu aman dan tenteram dan tidak ada berlaku penyokong- penyokong parti berdiri di tepi jalan melakukan provokasi dari segi percakapan dan isyarat.
“Saya boleh anggap PRK Balingian daripada 20 PRK inilah yang paling baik dan sangat menggembirakan SPR kerana semua pihak bekerjasama,” katanya pada sidang media di pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Suarah Mukah, semalam.
Abdul Aziz berkata, ketenangan sepanjang proses pilihan raya ini mungkin disebabkan budaya orang Sarawak yang mencintai keamanan dan menghormati antara satu sama lain.
Mengenai peratusan keluar mengundi yang tidak menjangkau sasaran SPR iaitu 80 peratus, beliau berkata pihaknya bagaimanapun tetap berpuas hati dengan 72.33 peratus.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, DUN Balingian mencatatkan 70 peratus.
Sebanyak 21 pusat mengundi dibuka sejak jam 8 pagi dan ditutup berperingkat-peringkat antara jam 2 petang, 3 petang dan yang paling lewat 5 petang.
“Mungkin pengundi-pengundi merasakan ini sekadar pilihan raya kecil dan keputusannya tidak akan mengubah kedudukan dalam Dewan Undangan Negeri.
“Lebih-lebih lagi sekarang ialah musim sekolah menyebabkan mereka berada di luar kawasan,” katanya. - theborneopost
No comments:
Post a Comment