Monday, 31 March 2014

Rekod baharu pilihan raya dicatat


BERPUSU-PUSU: Orang ramai di Pusat Mengundi Rumah Penghulu Iju berjalan di bahagian ruai rumah panjang untuk membuang undi pada PRK DUN Balingian di Mukah, semalam.


MUKAH: Seramai 8,014 daripada 13,233 orang pengundi atau 60 peratus menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian setakat tengah hari semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, beliau gembira dengan situasi demikian dan setuju jumlah itu sebagai rekod baharu dalam Pilihan Raya Umum atau PRK sebelum ini.

Jika berterusan beliau yakin mampu mencapai 80 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab apabila semua pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang.

“Mungkin sebab ini hari Sabtu dan cuti sekolah serta orang Kristian tidak sembahyang hari ini (semalam) berbanding Ahad,” katanya pada sidang media tengah hari semalam.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Yussibnosh Balo dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Jalil Bujang.

Aziz berkata lagi dalam tempoh sejam pertama mulai jam 8 pagi mereka yang mengundi ialah 19.7 peratus.

Sambil memberitahu beliau gembira dan puas hati dengan situasi itu, beliau berkata PRK Kajang sehingga jam 12 tengah hari hanya 40 peratus turun mengundi tetapi pada PRK Balingian pada jam 11 pagi, 53 peratus atau 7,085 pengundi dah keluar mengundi.

Beliau juga berkata proses pengundian pada sebelah pagi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan provokasi.

“Ada isu teknikal seperti pengundi yang memeluk agama Islam menggunakan nama lain tetapi dalam MyKad nama lain dan ada seorang pengundi kad pengenalan rosak tetapi ingat nombor kad pengenalan namun ini berjaya diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata SPR juga sedang menyiasat dakwaan seorang pemilih yang datang untuk mengundi namun namanya tiada dalam senarai daftar pemilih walaupun pernah mengundi di kawasan sama sebanyak dua kali.

“Kita akan semak dengan teliti sama ada dakwaan itu benar atau bohong, biasanya jarang berlaku nama pengundi dipotong atau dipindahkan ke tempat lain,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, proses membuang undi di dua lokasi iaitu di Pusat Mengundi Rumah Penghulu Iju, Sungai Temesu dan Rumah Kumbong, Hulu Bedengan di sini berlangsung dengan aman tanpa sebarang masalah.

Pusat Mengundi Rumah Penghulu Iju mempunyai seramai 233 pengundi berdaftar, manakala di Rumah Kumbong seramai 274 pengundi berdaftar.

Para pengundi dilihat turun awal dan cuaca baik mengizinkan penduduk turun beramai-ramai bagi mengambil kesempatan tersebut.

Rumah Penghulu Iju dan Rumah Kumbong merupakan dua pusat mengundi daripada 21 buah pusat mengundi pada PRK DUN Balingian. - theborneopost

No comments:

Post a Comment