Wednesday 5 March 2014

Adenan mahu SUPP ‘diselamatkan’ demi masa depan BN


CERIA: Adenan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP yang diketuai oleh Chin (tiga kanan) di Wisma Bapa Malaysia, semalam.


KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem mahu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ‘diselamatkan’ untuk memastikan kewujudan berterusan parti itu dan masa depan Barisan Nasional (BN) negeri, demikian menurut Presidennya Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Bercakap kepada media selepas mengetuai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) SUPP mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri hampir sejam di Wisma Bapa Malaysia semalam, Chin memberitahu rundingan itu bagaikan memberi sinar baharu kepada SUPP.

Menurutnya, rundingan dengan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjalan baik dan mesra dengan semua ahli CWC diberi peluang untuk menyatakan pandangan berhubung kemelut yang melanda SUPP ketika ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai isi rundingan serta cadangan dikemukakan Adenan bagi membantu menyelesaikan masalah dalaman SUPP.

“Pada pertemuan hari ini (semalam) dengan Ketua Menteri, dua perkara dibincangkan iaitu isu-isu dalaman parti serta perkara berhubung tindakan dibatalkan pendaftaran dua cawangan parti Piasau dan Bekenu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Satu perkara yang sangat positif mengenai sikap Ketua Menteri terhadap SUPP dan saya memetik beliau sebagai berkata ‘Kita mesti selamatkan SUPP.’ Ketua Menteri telah mengatakan hasratnya mahu menyelamatkan SUPP dan selaku Presiden, inilah berita paling gembira,” ujarnya.

Beliau menjelaskan perkataan ‘menyelamatkan SUPP’ terdiri daripada dua aspek iaitu isu pembatalan pendaftaran oleh ROS dan survival parti itu pada masa akan datang, lebih-lebih lagi Sarawak akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam tempoh dua tahun lagi.

Chin berkata, parti masih belum menerima sebarang jawapan daripada ROS selepas pihaknya mengemukakan surat tunjuk sebab kepada jabatan itu pada 4 Februari lalu.

Ditanya sama ada usaha menubuhkan parti politik baharu menggantikan SUPP merupakan penyelesaian terbaik kepada masalah dihadapi oleh parti itu, Chin berkata penubuhan parti baharu hanya akan berlaku sekiranya perdamaian membabitkan kumpulan beliau dan kumpulan Dato Sri Wong Soon Koh gagal dicapai.

Beliau bagaimanapun masih menaruh harapan kedua-dua kumpulan itu berdamai demi kepentingan parti dan rakyat.

“Saya berkali-kali mengatakannya sejak saya menjadi Presiden. Sudah tentu sentiasa ada peluang dan ruang untuk perdamaian. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan,” ujarnya.

Hadir sama Timbalan Presiden SUPP Datuk Richard Riot Jaem, Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. - theborneopost

No comments:

Post a Comment