Tuesday, 25 March 2014

BN tetap bersemangat pertahan kerusi Balingian

KUCHING: Kejayaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian.

Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata, kemenangan yang diraih PKR itu sebenarnya memberi semangat kepada jentera BN di negeri ini untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kerusi DUN Balingian dapat dipertahankan.

Malah menurutnya, semua jentera termasuk Pergerakan Pemuda BN akan berusaha memastikan Yussibnosh Balo menang dengan majoriti besar.

“Saya tidak nampak kemenangan PKR di Kajang memberi kesan negatif kepada BN untuk mempertahankan kerusi DUN Balingian.

“Apa yang diraih PKR sebenarnya memberi semangat kepada BN di Sarawak untuk memastikan kita menang di Balingian dengan majoriti lebih besar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan kejayaan PKR di Kajang akan memberi kesan kepada BN untuk menang di Balingian.

Dalam pertembungan satu lawan satu di DUN Kajang, calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 5,379 undi mengalahkan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya melahirkan rasa yakin BN akan mendapat undian lebih besar di Bali-ngian.

“Kita akan dapat undi lebih besar di Balingian,” ujarnya sambil menambah bahawa Yussibnosh merupakan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menggalas tanggung-jawab dengan baik.

Sehubungan itu Fadillah menasihati pengundi di DUN Balingian supaya tidak terpengaruh dengan propaganda pihak pembangkang.

“Pihak pembangkang sudah pasti akan mencetuskan pelbagai propaganda.

“Namun jika pembangkang menang di Balingian sekali-pun, struktur kepimpinan negeri tidak akan berubah.

“Saya berharap pengundi di DUN Balingian akan membuat keputusan bijak dan jangan terpengaruh dengan apa sahaja propaganda pembangkang,” jelasnya.

PRK DUN Balingian di-adakan berikutan pengunduran penyandangnya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari lepas sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri pada 1 Mac.

Hari pengundian untuk PRK DUN Balingian akan berlangsung pada 29 Mac ini dan menyaksikan calon BN Yussibnosh,48, akan ditentang calon PKR Abdul Jalil Bujang,55. - theborneopost

No comments:

Post a Comment