Wednesday, 19 March 2014

Misi ‘pikat’ pengundi wanita


BERSATU TEGUH: Fatimah (dua kanan) bersama pemimpin akar umbi pada Program Kebajikan dan 1AZAM di Kampung Teh, Mukah semalam. Turut kelihatan isteri calon BN, Elizabeth Nelson (tiga kanan).


Wanita BN pergiat usaha pastikan kemenangan besar calon BN di Balingian

MUKAH: Pengundi wanita akan menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian kerana jumlah mereka adalah lebih ramai berbanding pengundi lelaki.

Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, terdapat 6,725 pengundi wanita pada PRK kali ini, berbanding 6,651 lelaki.

Justeru, katanya, Wanita Barisan Nasional (BN) negeri akan mempergiatkan usaha untuk ‘memikat’ pengundi wanita bagi memastikan kemenangan besar calon BN Yussibnosh Balo, 48, pada PRK hujung bulan ini.

“Kami tahu BN akan menang, namun kami perlu berusaha keras kerana sasaran adalah untuk menang dengan majoriti yang besar pada PRK ini.

“Kami akan menugaskan anggota kami untuk menjaga setiap satu daripada 21 pusat pengundian dan menggesa pengundi agar keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi, 29 Mac ini,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Program Kebajikan dan 1AZAM di Kampung Teh di sini, semalam.

Fatimah berkata, biarpun BN diramal menang mudah di kerusi Balingian berdasarkan statusnya sebagai kubu kuat BN, namun kempen dan usaha mendekati pengundi tidak akan dipandang ringan.

Beliau memberitahu, seramai 1,872 pengundi layak mengundi di DUN Balingian bekerja dan tinggal di kawasan lain iaitu seramai 569 di Dalat, Bintulu (381), Miri (364), Sibu (264), Kuching (167), Semenanjung Malaysia (73) dan 54 orang lagi berada di beberapa kawasan di Mukah.

“Jentera BN akan cuba untuk mendekati pengundi ini kecuali mereka di Semenanjung Malaysia.

“Saya akan berkempen dua kali di Daerah Dalat pada PRK ini. Kita akan membantu dan mengingatkan mereka agar melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRK ini nanti,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi mencapai sasaran majoriti besar sebagai tanda sokongan kepada Ketua Menteri baharu dan menunjukkan rasa terima kasih kepada bekas ADUN Balingian Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, jentera Wanita BN negeri telah menggerakkan 29 subcawangan untuk mendekati pengundi di kawasan itu.

“Kami telah berpecah dalam kumpulan di mana setiap kumpulan akan menjaga di beberapa tempat yang telah ditetapkan bermula hari pertama berkempen hingga hari terakhir.

“Sehari sebelum mengundi, kami juga akan memberikan penerangan mengenai proses mengundi. Pada hari mengundi itu sendiri, kami juga akan mengatur pengangkutan untuk para pengundi,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan menggunakan senarai semak bagi memastikan para pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian nanti.

“Akan ada senarai semak. Sebagai contoh, jika seseorang telah mengundi, kami akan ‘tick’ (tanda pada senarai semak).

“Dan, jika kami dapati ada pengundi yang belum ditanda, kami akan cari kenapa. Dan jika orang yang sakit, maka kami akan melihat bagaimana untuk membantu orang tersebut untuk pergi mengundi,” jelasnya.

Fatimah yang juga ADUN Dalat berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan setiap pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada hari tersebut.

“Kami mahu memastikan bahawa semua datang untuk mengundi dan mereka mengundi BN,” katanya.

Terdahulu, Fatimah selaku Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga merasmikan Program Kebajikan dan 1AZAM yang bertujuan membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar.

Dalam ucapannya, beliau menggesa agar penduduk miskin mendaftar dengan e-Kasih agar kebajikan mereka terbela menerusi pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan. - theborneopost

No comments:

Post a Comment