Friday, 21 March 2014

Lulus segera projek sekolah


KEMUDAHAN UNTUK RAKYAT: Muhyiddin melihat replika Jambatan Batang Balingian yang telah siap pada 2007 pada majlis perasmiannya di SK Parish Balingian, semalam. Turut kelihatan (dari kiri) Awang Tengah, Yussibnosh, Wong dan Nansian.

MUKAH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kelulusan pembinaan sebuah sekolah menengah di Balingian disegerakan untuk memudahkan 800 pelajar di kawasan tersebut.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pendidikan berkata, perkara tersebut telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, namun ia masih belum diluluskan oleh pihak berkenaan.

Menurutnya, kos pembinaan sekolah tersebut dianggarkan RM60 juta meliputi 24 bilik darjah, bilik guru dan asrama serta tapak untuk merealisasikan projek itu sudah ada.

“Perkara ini telahpun dipohon oleh kementerian saya kepada EPU.

Walaupun kementerian ada peruntukan tetapi sesuatu projek yang hendak dilaksanakan tidak boleh terus kita laksanakan kerana kita perlu merujuk dahulu kepada unit ini yang memutuskan untuk diluluskan.

“Jadi, ia telah dikemukakan namun masih belum diluluskan.

Saya akan pastikan projek ini akan diluluskan kerana yang mengumumkan ini bukan sahaja Menteri Pendidikan tetapi Timbalan Perdana Menteri sendiri.

“Oleh sebab itu, saya memberitahu kepada pegawai saya takkan Timbalan Perdana Menteri sudah umumkan tetapi tidak diluluskan, nanti malulah saya,” ujarnya ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Jambatan Batang Balingian di SK Parish Balingian, semalam.

Muhyiddin berkata, pembinaan sekolah menengah di Balingian juga akan menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik kepada pelajar di kawasan tersebut.

“Saya difahamkan di sini apabila pelajar tamat darjah enam, mereka perlu pergi ke sekolah menengah yang terdapat di Mukah sama ada SMK Three Rivers, SMK St Patrick atau SMK Mukah yang jauhnya lebih 60 kilometer.

“Ia melibatkan perjalanan yang begitu jauh dan sudah tentunya ia akan mengganggu pelajaran anak-anak kita di sekolah dan akhirnya tidak akan mendapat keputusan yang baik,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu jika pihak EPU meluluskan projek sekolah tersebut, kemungkinan kerja-kerja pembinaan akan dilaksanakan pada tahun depan.

Muhyiddin turut berkata, kos pembinaan sekolah di Sarawak dan Sabah adalah lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia, malah ada kalanya dua kali ganda kos yang diperlukan.

“Kos yang terlalu tinggi di sini (Sarawak) diakibatkan kawasan yang begitu luas untuk proses pengangkutan barang-barang dan sebagainya,” jelasnya.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil DUN Balingian Yussibnosh Balo serta pemimpin lain. - theborneopost

No comments:

Post a Comment