Tuesday 18 March 2014

PRK Balingian: PKR tampil calon ‘kitar semula’

MUKAH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin memberi saingan sengit bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balingian walaupun calonnya Abdul Jalil Bujang pernah tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata keputusan parti meletakkan calon pernah kalah dan tidak menampilkan muka baharu kerana dalam proses demokrasi tiada yang mustahil.

“Kalah dalam pilihan raya lepas tidak semestinya kalah dalam pilihan raya akan datang,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK Balingian di Dewan Suarah Mukah semalam.

Abdul Jalil, 55, yang juga setiausaha PKR Bintulu dan seorang ahli perniagaan pernah bertanding bagi kerusi DUN Jepak melibatkan persaingan lima penjuru pada 2011 namun tewas kepada penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Talib Zulpilip, yang merupakan Menteri Muda Pelancongan Sarawak.

Sebaliknya BN menampilkan muka baharu iaitu bekas Pegawai Daerah Dalat Yossibnosh Balo, 48, sebagai calon bagi PRK Balingian.

Dalam PRN 2011, bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengekal-kan kerusi Balingian dengan mengalahkan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi.

Balingian mempunyai 13,366 pengundi berdaftar, dengan Melanau/Melayu merupakan kumpulan majoriti iaitu sebanyak 7,705 orang atau 57.65 peratus, Iban 3,875 (28.99 peratus), Cina 1,683 (12.59 peratus), Orang Ulu 29 (0.22 peratus) Bidayuh 19 (0.14 peratus) dan kaum lain 55 (0.41 pe-ratus). — Bernama

No comments:

Post a Comment