Friday, 14 March 2014

Baru: PKR umum calon Balingian pada Sabtu ini

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan calon yang bakal mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sabtu ini selepas mesyuarat di Sibu.

Pengerusi PKR Negeri, Baru Bian bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon yang bakal dipilih mewakili parti itu sehingga pengumuman calon oleh Barisan Nasional (BN) pada hari yang sama.

“Buat masa ini adalah lebih baik untuk saya tidak mendedahkan sebarang petunjuk mengenai identiti calon yang akan bertanding mewakili PKR pada PRK DUN Balingian 29 Mac depan.

“Apa yang pasti, kami telah mengenal pasti tiga calon berpotensi, dua daripadanya merupakan anak jati Melanau manakala seorang lagi merupakan individu luar,” katanya kepada Utusan Borneo ketika dihubungi semalam.

Meskipun Baru enggan mendedahkan identiti ketiga-tiga calon berkenaan, namun salah satu nama yang disebut-sebutkan ialah Abdul Raafidin Majidi, 31, seorang peguam di Sibu yang juga merupakan ahli jawatankuasa PKR Cabang Nangka.

Ditanya mengenai pengumuman oleh BN yang akan meletakkan calon Melanau beragama Kristian bagi kerusi itu nanti, Baru berpandangan ia adalah satu daripada strategi bagi kedua-dua parti untuk menawan DUN Balingian.

“Bagi saya ini adalah satu strategi yang harus diambil kira oleh PKR dalam menentukan calon yang akan mewakili parti pada PRK DUN Balingian kelak.

“Kami akan lihat siapa calon yang akan diumumkan oleh BN Sabtu ini selepas itu baharulah kami akan memutuskan calon bagi PRK dengan mengambil kira semua aspek serta kemampuan untuk merampas kerusi tersebut daripada BN,” ujarnya.

Baru juga tidak menafikan bahawa agak sukar untuk mereka menandingi BN pada PRK DUN Balingian memandangkan kerusi tersebut merupakan kubu kuat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN amnya.

Pada Pilihan Raya Negeri 2011, penyandangnya Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dari PBB menang dengan majoriti 5,154 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon PKR Suriati Abdullah dan Datuk Salleh Jafaruddin (bebas).

Kerusi DUN Balingian dikosongkan apabila Taib secara rasmi meletak jawatan sebagai Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ketujuh pada 28 Februari lepas.

DUN Balingian mempunyai 13,366 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK itu nanti iaitu 13,233 pengundi biasa dan 133 pengundi awal.

Dalam pada itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Balingian diadakan pada 29 Mac manakala hari penamaan calon pada 17 Mac. - theborneopost

No comments:

Post a Comment