Tuesday, 11 March 2014

Elak kerapuhan dalam perpaduan

Masalah, ketidakpuasan hati perlu ditangani dengan rasional: Mawan

SARATOK: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, kerapuhan perpaduan negara dan bangsa boleh membawa banyak kesan negatif yang membawa kehancuran.

Katanya, jika masyarakat melihat dan mengkaji dengan teliti punca pergolakan beberapa negara di dunia ini adalah bermula disebabkan kerapuhan perpaduan di kalangan masyarakatnya.

“Ketidakpuasan hati sesama sendiri serta peranan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab melemparkan pelbagai hasutan dan tomahan yang tidak berasas membangkitkan rasa marah masyarakat menyebabkan berlakunya pemberontakan.

“Keadaan seperti ini wajar dielakkan dengan fikiran waras serta tidak terbawa-bawa dengan perasaan yang boleh berlaku pertelingkahan sesama sendiri,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Alice Gelang, Lichok Baru, Seblak Roban, malam kelmarin.

Mawan berkata, apabila masalah ini melanda dan tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya bakal membawa kesan yang amat panjang dan sekali gus boleh membawa kehancuran kepada negara.

Beliau menambah, memang tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak masih memerlukan lebih banyak pembangunan dan kemajuan dari semua aspek masa kini.

“Isu ini kerap dijadikan modal politik pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Kita harap masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan perkara ini dan mampu memikirkan tentang kebenaran dan situasi sebenar.

“Masyarakat harus sedar dan melihat apakah sumbangan pembangkang kepada negara selama ini. Yang pasti mereka hanya jaguh mengkritik dan menimbulkan isu sahaja serta berusaha memecahbelahkan rakyat di negara ini,” tegas Mawan.

Mawan yang juga Ahli Parlimen Saratok berkata, keharmonian dikecapi hari ini wajar dihargai dan dipertahankan dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Keharmonian dan kemakmuran dinikmati hari ini tidak terhasil dengan mudah sebaliknya melalui perjuangan dan pengorbanan di samping kebijaksanaan pemimpin.

“Dalam aspek berkaitan, Sarawak merupakan contoh terbaik justeru senario positif ini mesti dikekalkan,” katanya.

Pada majlis itu, Mawan mengumumkan peruntukan geran berjumlah RM35,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Alice Gelang. - theborneopost

No comments:

Post a Comment